SITUASI mudah lupa sering dikaitkan dengan warga emas, namun realitinya hari ini ramai golongan muda turut melalui masalah yang sama.
Lupa meletakkan kunci, terlupa tarikh tugasan, tidak ingat apa-apa isi perbincangan, malah ada yang gagal mengingati perbualan yang berlaku beberapa jam sebelumnya.
Sering kita dengar ketika masih kanak-kanak mitos berkaitan makan semut boleh membuatkan kita jadi pelupa.
Namun ia tidak dibuktikan secara saintifik, mungkin sekadar kiasan orang tua untuk kita tidak makan atau minum makanan tercemar.
Fenomena muda tapi mudah lupa bukan lagi sesuatu yang pelik, sebaliknya semakin menjadi kebiasaan dalam masyarakat moden.
Salah satu faktor utama yang sering dikaitkan dengan masalah ini ialah gaya hidup serba pantas dan tekanan berterusan.
Tuntutan sosial, pelajaran, kerjaya, malah keluarga sedikit sebanyak memberi tekanan menyebabkan minda sentiasa bekerja tanpa henti.
Terlalu banyak perkara membuatkan kita secara tidak langsung hanya mengingati perkara-perkara yang penting.
Akibatnya, perkara kecil mudah tercicir daripada ingatan.
Sedangkan perkara kecil tersebut boleh jadi berkaitan dengan perkara besar.
Terlupa tempat letak kunci kereta mungkin perkara kecil, tetapi tekanan ketika mencari dan kelewatan ke destinasi menjadi perkara besar.
Hidup berjadual baik atau tidak?
Gaya hidup dipengaruhi teknologi memudahkan kita dalam banyak perkara.
Fasa awal remaja saya sudah didedahkan dengan telefon, cuma bukan seperti telefon pintar masa kini.
Skrin masih hitam kuning atau hitam putih.
Masih agak terhad memandangkan perlu beli kredit untuk berhubung – sebelum Internet lebih meluas.
Justeru telefon awam masih menjadi pilihan.
Masih perlu hafal atau catat nombor telefon rakan.
Kini saya hanya hafal nombor telefon isteri dan diri sendiri.
Tidak perlu hafal yang lain kerana semuanya tersimpan dalam senarai kenalan.
Tarikh penting diingatkan aplikasi kalendar.
Kemudahan ini membolehkan kita fokus untuk perkara yang lain.
Gaya hidup kini juga lebih berjadual.
Contohnya, pagi hantar anak pergi sekolah atau pusat asuhan.
Kemudian terus ke tempat kerja.
Ambil anak balik sekolah pada petang dan kitaran ini mungkin berlangsung lima hari seminggu.
Fokus dan gaya hidup kita akan terbiasa.
Masalah timbul apabila rutin ini berubah, isu lupa mungkin terjadi.
Mengambil contoh insiden berkaitan tertinggal anak di dalam kereta ketika pergi kerja.
Kejadian ini bukan pertama kali berlaku dan turut terjadi di seluruh dunia.
Pensyarah Kaunseling, Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia, UNIMAS, Dr Mohd.
Shahrul Kamaruddin berkata, ia mungkin ada kaitan dengan kelupaan disebabkan tekanan atau kegagalan memori prospektif.
Jelasnya, situasi tersebut boleh terjadi disebabkan terlalu tertekan, banyak komitmen atau multitugas.
Berlaku perubahan ataupun gangguan pada rutin seharian ibu bapa.
Seterusnya, kurang tidur turut menyumbang kepada masalah ini.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkongsi artikel individu yang lain berkaitan tip elak terlupa anak di dalam kereta sebagai panduan.
Antaranya, jangan letak kerusi kanak-kanak di belakang kerusi pemandu.
Letak di bahagian belakang tempat duduk penumpang agar ia berada dalam ruang pandangan.
Letakkan barang yang penting di belakang, bersama-sama dengan anak.
Contohnya beg kerja, kunci pejabat dan tag kerja.
Sentiasa jadikan amalan untuk memeriksa tempat duduk penumpang hadapan dan tempat duduk belakang sebelum mengunci kenderaan anda.
Dalam hal ini, perbuatan waswas terlupa kunci kereta jadi berguna.
Kita terpaksa berjalan semula ke kereta untuk memeriksa kunci.
Kesimpulannya, masalah muda tapi mudah lupa merupakan cabaran zaman moden yang berkait rapat dengan gaya hidup dan tekanan harian.
Ia bukan sekadar isu usia, tetapi isu pengurusan diri dan kesihatan mental.
Tidak dinafikan setiap manusia itu tidak dapat lari daripada sifat pelupa.
Kadangkala, yang lemah bukan ingatan kita, tetapi cara kita menguruskan hidup.
Mungkin dalam kesibukan hari ini, kita perlu lebih peka dengan diri sendiri.
Jika terasa makin kerap terlupa perkara kecil, boleh jadi itu tanda kita terlalu letih atau terlalu banyak perkara bermain di fikiran.



