Mudahkan kerjasama polis, masjid

KUCHING: Usaha membanteras jenayah merupakan tanggungjawab semua, bukan sekadar pihak polis, tegas Ketua Polis Daerah Serian DSP Aswandy Anis.

“Setiap anggota perlu sentiasa bersiap sedia dengan segala aduan yang bakal diterima,” katanya pada Majlis Pelancaran Peti Aduan 1Malaysia 1Polis (1M1P) dengan kerjasama Pejabat Agama Islam Bahagian Serian dan Masjid Bahagian Serian, semalam.

Program 1M1P merupakan program kerjasama antara PDRM dan masjid di seluruh negara.

Dua anggota polis yang disebut sebagai Pegawai Perhubungan Masjid (PPM) akan dilantik di setiap masjid untuk memudahkan kerjasama antara polis dan masjid.

Peti aduan itu diwujudkan untuk mencegah jenayah dan menjadikan masjid sebagai pemberi dan menyalurkan maklumat.

Secara tidak langsung, hubungan antara pihak polis dan masyarakat juga dapat dieratkan melalui program ini.

Selain itu, program ini diadakan bagi memudahkan Jawatankuasa Pengurusan Masjid (JKP Masjid) berhubung terus dengan PDRM.

Lembaga Amanah Kebajikan Islam Serian (LAKIS) yang diketuai oleh Ustaz Mohd Amin Dan telah menaja Peti Aduan tersebut.

Program 1M1P di Bahagian Serian diselia oleh Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, IPD Serian, ASP Murad Jemiri.

Pegawai Pejabat Agama Islam Bahagian Serian Morshidi July turut hadir.

Suara Sarawak