ARTIKEL

Mudahkan pembiayaan perniagaan kecil

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR : Kumpulan AFFIN menerusi Affin Bank Bhd dan Affin Islamic Bank Bhd akan memudahkan akses perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kepada Kemudahan Bantuan Pemulihan PKS (SME Stabilisation Relief Facility – SME SRF) yang diperkenalkan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi membantu syarikat berdepan tekanan kewangan jangka pendek susulan ketidaktentuan geopolitik semasa.

Kemudahan di bawah inisiatif bantuan bernilai RM5 bilion oleh BNM itu bertujuan membantu PKS yang berdaya maju meningkatkan kecairan, mengurus keperluan modal kerja serta mengekalkan operasi perniagaan dalam tempoh mencabar.

Dalam kenyataan, AFFIN Group memaklumkan PKS yang layak boleh memperoleh pembiayaan modal kerja sehingga RM750,000 dengan kadar pembiayaan sehingga 3.75 peratus setahun menerusi SME SRF.

Menurut kenyataan itu, kemudahan berkenaan turut menawarkan perlindungan jaminan sehingga 80 peratus melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) atau Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC), sekali gus membantu meningkatkan akses pembiayaan terutama kepada PKS yang mempunyai cagaran terhad.

“Kumpulan AFFIN akan terus menyokong PKS melalui langkah bantuan pembayaran balik termasuk penjadualan dan penstrukturan semula pembiayaan, selain khidmat nasihat yang disesuaikan dengan keadaan kewangan dan keperluan operasi perniagaan pelanggan,” menurut kenyataan itu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AFFIN, Datuk Wan Razly Abdullah berkata PKS kekal sebagai antara pemacu utama ekonomi negara menerusi sumbangan kepada peluang pekerjaan, komuniti tempatan dan rantaian bekalan domestik.

Beliau berkata AFFIN komited menyediakan penyelesaian kewangan yang praktikal dan tepat pada masanya bagi membantu pelanggan mengharungi cabaran ekonomi semasa serta memperkukuh daya tahan perniagaan untuk jangka panjang.

“Kami memahami cabaran yang semakin meningkat dihadapi PKS dalam persekitaran semasa.

Sebagai institusi kewangan yang komited menyokong perniagaan dalam pelbagai kitaran ekonomi, AFFIN akan terus menyediakan penyelesaian yang memenuhi keperluan segera pelanggan dan membantu mengukuhkan daya tahan mereka,” katanya.

Wan Razly turut menggalakkan PKS yang menjangkakan cabaran perniagaan supaya berhubung lebih awal dengan pihak bank bagi membolehkan penilaian bersama dilakukan dalam memastikan momentum dan pertumbuhan perniagaan dapat diteruskan.

Sebelum ini, Kumpulan AFFIN turut memperkenalkan bantuan kewangan bersasar pada 9 April 2026 kepada pelanggan yang terkesan akibat ketidaktentuan geopolitik, sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan menyediakan penyelesaian kewangan yang responsif dan praktikal.

Permohonan bagi SME SRF dibuka mulai 15 Mei hingga 31 Disember 2026 atau sehingga keseluruhan dana diperuntukkan digunakan sepenuhnya. Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan melayari laman web AffinAlways.com atau emel kepada smecare@affingroup.com.

BERITA LAIN

Perkukuh daya tahan ekonomi

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2027 bertujuan memperkukuh daya tahan ekonomi Malaysia, menyokong perubahan industri dan meningkatkan pembangunan tenaga kerja dalam sektor sarung tangan getah, kata Persatuan

Industri minyak dan gas perluas operasi

KUALA LUMPUR: Industri perkhidmatan serta peralatan minyak dan gas (OGSE) Malaysia di landasan tepat bagi fasa pertumbuhan selanjutnya dan perlu terus memperluas skala operasi, inovasi

BERITA TERBARU