LUBOK ANTU: Muhamad Rafiq Ghaffari Mohd Abdul Sauki dan Rabiah Kinchong masing-masing bergelar johan bagi kategori qari dan qariah Pertandingan Tilawah al-Quran Peringkat Bahagian Sri Aman yang berlangsung di Masjid Darul Huda dekat sini, malam tadi.
Rafiq, yang mewakili Daerah Sri Aman, pulang dengan hadiah wang tunai RM1,000.
Dua lagi wakil daerah itu, Masazizul Suhaili dan Mohd Rafizi Wahab, masing-masing berada di kedudukan naib johan dan tempat ketiga.
Mereka masing-masing menerima hadiah RM700 dan RM500.
Sementara itu, Awang Abdul Shukri Awang Boni dan Rambli Johan turut menerima hadiah sagu hati berupa wang tunai RM150.
Untuk kategori qariah, wakil Daerah Lingga, Rabiah Kinchong, yang dinobatkan sebagai johan turut pulang dengan hadiah wang tunai RM1,000.
Dayang Nur Afira Abang Mohamad, juga dari Daerah Lingga, sebagai naib johan menerima RM700, diikuti pemenang tempat ketiga, Sharifah Rohana Wan Zain mewakili Daerah Sri Aman, pulang dengan hadiah RM500.
Sementara itu, Siti Hawa Mohamad Isa dari Lubok Antu menerima RM150 sebagai sagu hati.
Kesemua hadiah disampaikan oleh Pegawai Daerah Sri Aman, Shariff Bujang, yang juga Timbalan Pengerusi Jawatakuasa Tetap Perayaan Islam Bahagian Sri Aman.
Secara keseluruhan, sembilan peserta mengambil bahagian pada pertandingan tersebut.





