Muhyiddin ucap takziah kepada Presiden, rakyat Indonesia

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan takziah kepada Presiden Indonesia, Joko Widodo serta kerajaan dan rakyat negara berkenaan susulan tragedi menimpa kapal selam KRI Nanggala 402.

Muhyiddin berkata, Malaysia sentiasa bersedia untuk terus menghulurkan bantuan wajar yang diperlukan kepada Indonesia dalam menghadapi waktu genting itu.

“Saya mewakili kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia merakamkan ucapan takziah. Kami turut berdukacita atas tragedi mengejutkan dan amat menyayat hati ini.

“Semoga Allah mengurniakan kekuatan dan kesabaran kepada ahli keluarga 53 anak kapal dalam menempuh dugaan ini,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook semalam.

KRI Nanggala 402 dilaporkan terputus hubungan pada 4.25 pagi Rabu lalu ketika dalam misi latihan penembakan torpedo di utara perairan Bali, yang turut disertai 21 kapal Angkatan Laut Tentera Nasional Indonesia (TNI), lima pesawat tempur dan satu kapal selam lain.

Panglima TNI Hadi Tjahjanto semalam mengumumkan semua kru kapal selam KRI Nanggala 402 telah terkorban. – BERNAMA

Suara Sarawak