MUKAH: Pasukan Pemuda N17 Stakan A mengungguli kategori lelaki terbuka pada Mukah Raft Safari 2025 apabila mencatat masa terpantas dua jam 56 minit, sekali gus mengenepikan 27 pasukan lain yang turut bersaing dalam kategori berkenaan.
Naib juara dimenangi pasukan Team Helang Saratok, manakala Kasihnya Warisan menduduki tempat ketiga.
Bagi kategori wanita terbuka, UNIMAS Rafture Team muncul juara dengan catatan masa terpantas tiga jam 13 minit. Tempat kedua dimenangi pasukan LCST, manakala JKKK Kampung Sau Wanita berada di tempat ketiga.
Sementara itu, kategori agensi kerajaan dimenangi VOLSAR RELA Sarawak dengan catatan masa terpantas tiga jam satu minit.
Pasukan Pemuda N17 Stakan B muncul naib juara, diikuti UNIMAS One Piece Team di tempat ketiga.
Bagi kategori terbuka campuran pula, juara dimenangi pasukan UNIMAS Three Plus One dengan catatan masa terpantas tiga jam tujuh minit.
VOLSAR Pitch Black menduduki tempat kedua, manakala PDRM Mukah B di tempat ketiga.
Pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga bagi setiap kategori menerima hadiah wang tunai RM1,000, RM700 dan RM500 selain piala kemenangan.
Mukah Raft Safari 2025 merupakan perlumbaan anjuran bersama Pusat Khidmat N57 Tellian, Pertubuhan Belia Parlimen Mukah dan Grit Event Management.
Perlumbaan sejauh 26 kilometer itu bermula dari Jeti Kampung Sau dan berakhir di Mukah Coastal Wharf, dengan penyertaan seramai 65 pasukan.
Upacara pelepasan perlumbaan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi, manakala majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh ADUN Tellian, Royston Valentine.













