Mukah hari ini bukan lagi seperti yang dahulu.
Daerah yang suatu ketika pernah dikenali dengan keterbatasan kemudahan asas kini muncul sebagai antara kawasan yang pesat membangun di bahagian tengah Sarawak.
Ini adalah hasil perancangan rapi serta pelaksanaan projek pembangunan yang berterusan oleh wakil rakyat di kawasan kita.
Suatu ketika dahulu, kehidupan masyarakat di Mukah cukup sederhana.
Ramai anakanak terpaksa berjalan kaki ke sekolah, menempuh jarak yang jauh demi menuntut ilmu, tanpa mengira panas terik mahupun hujan lebat.
Bukan itu sahaja, jalan yang dilalui bukannya bertar seperti yang dilihat pada hari ini, sebaliknya tanah dan batubatuan.
Bagi sebahagian keluarga, mendapatkan makanan yang mencukupi bukan perkara mudah kerana pada ketika itu, kadar kemiskinan boleh dikatakan tinggi.
Kehidupan pada masa itu juga menuntut kesabaran dan ketabahan, sementara peluang untuk meningkatkan taraf hidup masih terhad.
Di samping itu, pemilikan kenderaan pula boleh dihitung menggunakan jari dan rumah yang mempunyai kereta dikatakan golongan berada.
Jalan yang ada ketika itu tidak seluas dan sebaik hari ini, malah sunyi kerana tidak banyak kenderaan yang melaluinya, sekali gus mengehadkan pergerakan serta aktiviti harian penduduk.
Kemudahan asas seperti bekalan air paip juga belum dinikmati secara meluas.
Penduduk bergantung kepada air hujan, sungai atau telaga untuk keperluan harian, satu keadaan yang mencerminkan realiti hidup pada masa tersebut.
Namun, perubahan mula dirasai apabila pelbagai projek pembangunan diperkenalkan secara berperingkat.
Pembinaan infrastruktur asas menjadi pemangkin kepada transformasi Mukah daripada sebuah kawasan yang serba kekurangan kepada daerah yang semakin tersusun.
Jaringan jalan raya yang semakin baik bukan sahaja memudahkan pergerakan penduduk, malah membuka ruang kepada pertumbuhan ekonomi tempatan.
Hubungan antara Mukah dengan kawasan sekitar juga menjadi lebih lancar dan efi sien.
Dalam bidang pendidikan, lebih banyak kemudahan sekolah dan institusi pembelajaran diwujudkan.
Anak-anak Mukah hari ini tidak lagi perlu menempuh perjalanan jauh dengan berjalan kaki seperti generasi terdahulu, sebaliknya menikmati akses pendidikan yang lebih selesa dan terancang.
Kemudahan kesihatan turut dipertingkatkan, sekali gus memberi jaminan yang lebih baik terhadap kesejahteraan penduduk. Perkhidmatan yang dahulunya sukar dicapai kini semakin mudah diakses.
Bekalan air paip dan elektrik yang semakin meluas telah meningkatkan kualiti hidup masyarakat.
Keperluan asas yang suatu ketika dahulu menjadi cabaran kini tidak lagi menjadi kebimbangan utama bagi kebanyakan keluarga.
Dari sudut ekonomi, Mukah semakin dikenali sebagai antara pusat pertumbuhan baharu di Sarawak kerana pelaksanaan projek pembangunan berskala besar telah membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
Perubahan ini jelas dapat dilihat melalui pertambahan kenderaan di jalan raya, perkembangan kawasan perumahan serta kemunculan pusat-pusat komersial yang baharu.
Ini adalah sesuatu yang sukar dibayangkan beberapa dekad lalu.
Walaupun pembangunan pesat membawa pelbagai kemudahan, masyarakat Mukah tidak melupakan sejarah dan pengalaman lampau.
Kenangan berjalan kaki ke sekolah, kekurangan makanan dan ketiadaan air paip menjadi sebahagian daripada memori kolektif yang membentuk jati diri mereka.
Sejarah tersebut juga menjadi peringatan tentang nilai kesyukuran serta kepentingan usaha berterusan dalam membina masa depan yang lebih baik.
Pembangunan yang dinikmati hari ini bukan berlaku dalam sekelip mata, sebaliknya hasil komitmen pelbagai pihak dalam merancang dan melaksanakan dasar yang berpaksikan kepentingan rakyat.
Mukah kini bukan sahaja berubah dari segi fi zikal, malah turut mengalami perubahan dalam cara hidup dan pemikiran masyarakatnya yang semakin terbuka kepada peluang baharu.
Justeru, keseimbangan antara kemajuan dan pemeliharaan nilai serta budaya setempat perlu terus diberi perhatian agar pembangunan yang dikecapi kekal mampan.
Transformasi Mukah daripada sebuah daerah yang serba kekurangan kepada kawasan yang semakin maju membuktikan bahawa perancangan yang konsisten mampu mengubah nasib sesebuah komuniti.
Mukah hari ini berdiri sebagai simbol kemajuan, tanpa melupakan akar sejarah yang pernah membentuk ketabahan dan kekuatan masyarakatnya.


