KUCHING: Pasukan Hoki Mukah mencipta kejayaan membanggakan apabila menjuarai kategori Lelaki 14 Tahun Ke Bawah (14TKB) pada Kejohanan Hoki 5’s Edisi Kali Ke-8 Peringkat Negeri Sarawak di Stadium Hoki Sarawak, baru-baru ini.
Dalam perlawanan akhir yang berlangsung sengit, pasukan Mukah berjaya menewaskan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saribas dengan jaringan tipis 1-0.
Sehubungan itu, kejayaan Mukah turut menerima dua anugerah individu apabila Awang Farahi Amzar Awang Safuan dinobatkan sebagai Pemain Terbaik 14TKB, manakala Karl Zaim Mazlan pula menerima anugerah Penjaga Gol Terbaik 14TKB.
Pasukan Mukah turut menyertai kategori 12TKB dan 16TKB, namun menamatkan saingan di tempat ketiga peringkat kumpulan.
Pengurus Pasukan Mukah yang juga Pengerusi Persatuan Hoki Bahagian Mukah, Masri Usop berkata pencapaian tersebut merupakan hasil usaha berterusan barisan pengurusan dan staf kejurulatihan.
“Kemenangan ini adalah perkembangan positif bagi sukan hoki di Mukah sekali gus mencerminkan usaha gigih pemain dan barisan pegawai dalam memartabatkan sukan hoki di pelbagai peringkat.
“Diharapkan kejuaraan ini menjadi pemangkin kepada pembentukan, pembangunan dan masa depan sukan hoki agar dapat melahirkan lebih ramai pemain berpotensi untuk mewakili negeri Sarawak,” katanya.
Susulan kejayaan tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine menzahirkan ucapan tahniah kepada seluruh pasukan atas pencapaian cemerlang itu.
Menurutnya, usaha gigih dan komitmen yang konsisten ditunjukkan oleh para pemain serta barisan kejurulatihan telah membuahkan hasil yang membanggakan.
“Tahniah kepada pasukan Hoki Bahagian Mukah. Teruskan usaha untuk meningkatkan prestasi dari semasa ke semasa,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Hadiah kepada para pemenang telah disampaikan oleh Pengerusi Pengelola Kejohanan Hoki 5’s Edisi Kali Ke-8 Peringkat Negeri Sarawak 2026 Datin Mary Sadiah Zainuddin.


