ARTIKEL

Abdul Karim, Gerawat serta tetamu kehormat yang lain menunjukkan poster acara selepas sidang media.

Mulu Eco-Challenge 2026 tawar hadiah RM10,000

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Taman Negara Gunung Mulu sekali lagi bakal menjadi tumpuan dunia apabila menjadi lokasi penganjuran acara sukan lasak berprestij, Mulu Eco-Challenge 2026, berlangsung 29 Mac ini dengan menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM10,000.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Pembangunan Bakat, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, acara ini merupakan manifestasi kembara autentik – menonjolkan keunikan hutan hujan dan biodiversiti Sarawak melalui gabungan aktiviti larian denai serta berakit buluh.

“Pemilihan Mulu sebagai lokasi utama adalah tepat memandangkan statusnya sebagai permata negara yang mendapat pengiktirafan daripada Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

“Mulu bukan sahaja kebanggaan kita di sini, malah ia adalah kebanggaan seluruh Malaysia dan Sarawak cukup bertuah kerana memiliki dua tapak warisan dunia selepas Kompleks Gua Taman Negara Niah turut menerima pengiktirafan serupa dua tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Mulu Eco-Challenge 2026 yang berlangsung di Bangunan BaitulMakmur II, di sini hari ini yang turut dihadiri ADUN Mulu, Datuk Gerawat Gala.

Kewujudan tapak warisan dunia seperti Mulu menjadi daya tarikan utama yang memukau kehadiran pelancong dari serata pelosok global.

Menurut Abdul Karim, penganjuran edisi ketiga ini dilihat sebagai langkah proaktif mempopularkan usaha pemuliharaan dan preservasi alam sekitar secara lebih meluas.

“Acara ini membawa mesej penting mengenai pelancongan yang bertanggungjawab serta mampan, selari dengan slogan promosi Sarawak iaitu Kebudayaan, Kembara, Alam Semulajadi, Makanan dan Festival (CANFF).

“Melalui cabaran ini, kita harap keindahan Mulu akan tular ke seluruh dunia dan menggalakkan lebih ramai orang datang dengan sikap yang lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar,” tambahnya.

Ujarnya, penganjuran kali ini dijangka menarik sekitar 90 hingga 100 peserta daripada 25 pasukan, termasuk penyertaan antarabangsa dari Brunei, Singapura, Sabah dan Semenanjung Malaysia.

Beliau turut optimis bahawa penganjuran acara bertaraf antarabangsa itu akan memberikan impak ekonomi yang positif secara langsung kepada komuniti setempat.

“Peserta yang hadir dijangka bakal melawat penempatan masyarakat Penan di sekitar Mulu yang terkenal dengan penghasilan kraf tangan dan anyaman bakul yang berkualiti tinggi,” katanya.

Beliau turut memuji konsistensi pihak penganjur, Grit Event Management yang komited memastikan kualiti penganjuran acara berasaskan alam semula jadi kekal pada tahap tertinggi.

Beliau juga memaklumkan bahawa acara ini turut disokong Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), AirBorneo selaku syarikat penerbangan rasmi dan Mulu Marriott Resort & Spa sebagai hotel rasmi.

“Diharapkan Mulu Eco-Challenge akan terus berkembang menjadi salah satu acara ikonik bagi kembara eko di rantau ini, sekali gus mengukuhkan lagi imej Sarawak di peta pelancongan dunia,” ujarnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Jalai Balingian–Sungai Anak patut diadu manah

KUCHING: Pengawa ngintu, ngadu sereta nangkir Jalai Perintah Besai Balingian–Sungai Anak ti nyambung rentayan Jalai Besai Pan Borneo begunaka perati dikena nambahka pengelikun enggau pejalai