KABONG: Seorang murid perempuan berusia 12 tahun dari sebuah sekolah di Kabong disahkan hamil selepas dipercayai menjalin hubungan sulit dengan seorang pekerja ladang kelapa sawit warga Indonesia sejak tahun lalu.
Lebih mengejutkan, ibu mangsa dilaporkan menemui guru besar sekolah berkenaan bagi memohon supaya anaknya berhenti sekolah selepas mengetahui perkara itu.
Susulan laporan berhubung kejadian tersebut, polis Saratok menahan seorang lelaki berusia 28 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, mangsa dan suspek mula berkenalan pada pertengahan tahun lalu sebelum menjalinkan hubungan percintaan sejak awal tahun ini.
“Mangsa mengaku melakukan hubungan seks bersama-sama suspek beberapa kali iaitu pada pertengahan bulan Jun 2026, diikuti kejadian kedua berlaku selang dua hari selepas kejadian pertama serta kejadian ketiga pula berlaku selepas tiga hari daripada kejadian kedua,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Mathew lagi, mangsa menyedari dirinya hamil kira-kira seminggu lalu sebelum memaklumkan perkara itu kepada ibunya pada 11 November sebaik pulang dari sekolah.
Katanya, selepas mengetahui keadaan anaknya, ibu mangsa kemudian pergi ke sekolah dengan tujuan memohon supaya pihak sekolah membenarkan anaknya berhenti sekolah dan berkahwin dengan suspek.
Sementara itu, Mathew berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Saratok yang diketuai Inspektor Henry Muji berjaya mengesan dan menahan suspek di sebuah rumah panjang di Kabong, hari ini.
Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan lanjut.





