LUNDU: Kewujudan Tingkatan Enam di SMK Lundu sejak 2002 terus memberi manfaat kepada pelajar setempat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat prauniversiti tanpa perlu berhijrah ke kawasan lain, sekali gus mengurangkan beban kewangan keluarga.
Ahli Lembaga Amanah Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) merangkap Penaung Persatuan Alumni SMK Lundu, Billy Sujang berkata, kemudahan pendidikan itu membolehkan pelajar dari daerah Lundu dan kawasan sekitarnya meneruskan pengajian berhampiran tempat tinggal, sekali gus menjimatkan kos pengangkutan, penginapan serta perbelanjaan harian.
“Dengan adanya Tingkatan Enam di sini membolehkan pelajar dari daerah Lundu dan kawasan sekitarnya meneruskan pengajian berhampiran tempat tinggal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Graduasi Tingkatan Enam SMK Lundu Tahun 2026 di Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) Lundu di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Billy menekankan kepentingan penyediaan kemudahan pendidikan yang selesa, selamat dan kondusif bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan berkesan.
Sehubungan itu, beliau memberitahu usaha menaik taraf infrastruktur sekolah terus diberikan perhatian, termasuk kerja-kerja penyelenggaraan Blok Kemboja yang menempatkan pelajar Tingkatan Enam melibatkan peruntukan sebanyak RM420,000.
Selain itu, katanya kerja-kerja baik pulih Dewan Makan SMK Lundu serta penyelenggaraan dapur sekolah turut diberikan perhatian bagi meningkatkan keselesaan dan kemudahan warga sekolah.





