KUALA LUMPUR: Pembedahan menyambung semula pergelangan tangan kanan Lans Koperal Thierry Rodger Pendy – anggota polis yang putus pergelangan tangan selepas ditetak menggunakan parang ketika menjalankan tugas di Kepong, semalam, selesai dilaksanakan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Perkembangan itu dimaklumkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, selepas menziarahi anggota berusia 26 tahun itu bersama-sama Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail, di HKL hari ini.

Saifuddin berkata, beliau berharap proses pemulihan anggota berkenaan berjalan lancar dan segala usaha pasukan perubatan membuahkan hasil terbaik.
“Alhamdulillah, saya dimaklumkan bahawa pembedahan menyambung semula pergelangan tangannya telah dilaksanakan.

Saya amat berharap agar proses pemulihan beliau berjalan lancar dan segala usaha pasukan perubatan membuahkan hasil yang terbaik,” katanya menerusi perkongsian di media sosial.
Beliau turut meluahkan rasa sebak melihat keadaan Thierry yang terpaksa berdepan kecederaan serius ketika menjalankan amanah sebagai anggota keselamatan.

Menurutnya, anggota berkenaan keluar bertugas seperti biasa, namun berdepan serangan ganas yang mengakibatkan pergelangan tangan kanannya terputus.
Dalam lawatan itu, Saifuddin dan Mohd Khalid turut bertemu keluarga mangsa bagi bertanya khabar serta menyampaikan kata-kata semangat dan sokongan moral.
Thierry yang bertugas di Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, cedera parah selepas ditetak seorang warga asing menggunakan parang dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Desa Aman Puri, Kepong.
Mangsa pada awalnya dibawa ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan sebelum dipindahkan ke HKL bagi menjalani pembedahan menyambung semula pergelangan tangan kanannya.
Dalam pada itu, Saifuddin menyifatkan keberanian dan pengorbanan anggota itu sebagai gambaran tanggungjawab besar yang dipikul pasukan keselamatan dalam melindungi masyarakat.
Sehubungan itu, Saifuddin turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pasukan perubatan HKL atas usaha memberikan rawatan terbaik kepada anggota berkenaan.
Hadir sama, Ketua Polis Selangor, CP Datuk Pahlawan Shazeli Kahar dan Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Ibrahim Husin serta beberapa pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM).






