ARTIKEL

14 lagi ditahan bantu siasatan kes pergaduhan berdarah ragut nyawa lelaki di Sibu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SIBU: Siasatan kes pergaduhan berdarah yang meragut nyawa seorang lelaki akibat tikaman di dada pada 7 November lalu membawa kepada penahanan 14 lagi individu, menjadikan keseluruhan 23 suspek kini ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, tangkapan terbaharu itu dilakukan hasil risikan dan tindakan susulan polis di beberapa lokasi sekitar bandar ini.

Menurutnya, sebelum ini sembilan individu ditahan bagi membantu siasatan kejadian berkenaan.

“Kesemua 23 suspek yang berusia antara 15 hingga 42 tahun dibawa ke mahkamah dan perintah reman selama enam hari sehingga 18 November ini dibenarkan bagi membantu siasatan lanjut,” katanya memetik hantaran TVS hari ini.

Abang Zainal berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Beliau menjelaskan siasatan menyeluruh masih diteruskan bagi mengenal pasti peranan serta tahap pelibatan setiap suspek dalam kejadian yang meragut nyawa mangsa.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan berhubung kes berkenaan.

‘’Pada masa sama, polis mengalu-alukan kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu supaya tampil membantu siasatan,’’ katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU