ARTIKEL

Musim Haji 1445H: Petugas Tabung Haji mula berlepas ke tanah suci persiap operasi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Pasukan pertama petugas Lembaga Tabung Haji (TH) Musim Haji 1445H/2024M berlepas ke Jeddah, Arab Saudi, semalam sebagai persediaan awal bagi menyantuni jemaah haji dari Malaysia.

Pasukan itu terdiri daripada 16 individu termasuk petugas kebajikan, perubatan dan petugas teknologi maklumat bagi memastikan talian kemudahan komunikasi berfungsi dengan baik sepanjang musim haji nanti. 

Pengarah Eksekutif Haji TH Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata keberangkatan semua petugas ke tanah suci dilakukan secara berperingkat melalui beberapa siri penerbangan bermula semalam sebelum diikuti penerbangan pertama jemaah haji pada 9 Mei. 

“Pasukan kedua petugas dijadual berlepas ke Jeddah esok (2 Mei) iaitu seramai 150 orang termasuk 14 pengamal media daripada pelbagai agensi antaranya Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), RTM, Astro AWANI dan Media Prima. 

“Pasukan ketiga petugas pula dijadual berlepas pada 6 Mei melibatkan 70 orang, manakala selebihnya akan berlepas bersama jemaah haji pada 9 Mei nanti,” katanya kepada Bernama di sini hari ini. 

Beliau berkata hampir 600 petugas TH digerakkan ke Arab Saudi pada musim haji pada tahun ini, bagi memudahkan urusan jemaah haji.

Pada masa yang sama, beliau menasihati petugas haji agar sentiasa menjaga kesihatan supaya dapat menjalankan amanah menyantuni duyufurrahman.

Sebanyak 100 penerbangan sewa khas akan digunakan untuk membawa semua jemaah haji Malaysia, melibatkan penerbangan Malaysia Airlines dan Saudia dengan penerbangan terakhir pada 9 Jun. 

Sementara itu, lapan stesen berlepas akan digunakan untuk jemaah haji di seluruh Malaysia bagi urusan melapor diri antaranya Kota Bharu, Kelantan; Kuala Terengganu, Terengganu; Alor Setar, Kedah; Bayan Lepas, Pulau Pinang; Senai, Johor; Kuching, Sarawak; Kota Kinabalu, Sabah serta Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Kerajaan Arab Saudi meluluskan sebanyak 31,600 kuota haji untuk jemaah Malaysia bagi tahun 1445H/2024 dan kelulusan itu diberikan berdasarkan jumlah 0.1 peratus jumlah penduduk Islam di negara ini. 

Bernama

BERITA LAIN

Polis buru 10 ahli kumpulan jenayah terancang

KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan 10 individu disyaki terlibat dalam kumpulan jenayah terancang yang terbabit dalam pelbagai kegiatan jenayah di sekitar Selangor. Pengarah Jabatan Siasatan

BERITA TERBARU