MENTERI Kewangan Lim Guan Eng pada Jun 2019 mendakwa Sarawak bakal bankrap dalam tempoh tiga tahun jika terus di bawah kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Selepas lebih lima tahun berlalu, seluruh rakyat Malaysia tahu, sama ada dakwaan pemimpin DAP itu Pakatan Harapan dan DAP bagai kaduk naik junjung.
Ya, maklumlah, baru menikmati madu kuasa selepas berjaya menyingkirkan BN dari tampuk kuasa di Putrajaya.
Ketika berkuasa banyak projek prasarana dibatalkan sehingga akhirnya memaksa Premier bertindak menggunakan wang Kerajaan Sarawak.
Ketika itu, ayam tambatan DAP itu memberitahu dengan angkuh, dengan Belanjawan Sarawak sebanyak RM11 bilion pada tahun 2019, dan dua tahun seterusnya, maka semua rizab negeri iaitu sebanyak RM30 bilion akan habis digunakan.
“Dalam tempoh tiga tahun akan datang Sarawak bakal jatuh bankrap, mengapa saya mengatakan sedemikian, sebab tahun ini belanjawan Sarawak berapa banyak? RM11 bilion, rizab Sarawak berapa?
RM30 bilion, setiap tahun RM11 bilion dalam tempoh tiga tahun anda tidak mempunyai apa-apa,” beliau dipetik berkata dengan begitu yakin.
Saya tidak tahu logik apakah yang digunakan oleh Menteri Kewangan itu?
Jikalah kita mempunyai pemimpin sedemikian, tentu kita bakal berdepan dengan masalah kewangan, kerana beliau membuat perkiraan seolaholah Kerajaan Sarawak hanya bergantung pada rizab berkenaan.
Juga seolah-olah hasil dan pendapatan Sarawak tidak akan bertambah.
Melalui perekayasaan kewangan dan hasil sumber lain, Sarawak mampu meningkatkan hasilnya sekali gus meningkatkan peruntukan belanjawannya.
“Jika tiada apa-apa yang tinggal (rizab) apa yang berlaku pada anda, kamu akan menjadi seperti Kelantan,” kata beliau, Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam Sarawak Here We Come Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak, Crown Square.
Di sebalik keghairan dan usaha beliau untuk memberi gambaran buruk terhadap Sarawak dan Premier, kini kita semua tahu keadaan sebenar.
Adakah Sarawak sudah muflis seperti diramalkan oleh Lim Guan Eng? Mereka yang mengikuti perkembangan dan pertumbuhan ekonomi dan hasil Sarawak sejak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memerintah tahu akan hakikatnya.
Sarawak bukan sahaja tidak muflis, tetapi kedudukan kewangannya semakin kukuh.
Buktinya?
Perhatikan jumlah belanjawan Sarawak dari tahun ke tahun sejak 2018 hingga Belanjawan 2025?
Sebanyak RM11.91 diperuntukkan bagi Belanjawan Sarawak pada 2019, yang ketika itu disifatkan tertinggi dalam sejarah.
Malah, tertinggi bagi mana-mana negeri di negara ini.
Kemudian, tahun demi tahun rekod baharu dicatatkan dari segi peruntukan.
Bagi Belanjawan 2025, sekali lagi rekod baharu dicatat.
Premier Sarawak pada Isnin (11 November) membentangkan belanjawan berjumlah RM15.8 bilion untuk tahun 2025, pertambahan 16 peratus daripada RM13.6 bilion yang diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus dan pembangunan negeri pada 2024.
Bertemakan “Bersama Membina Masa Depan Yang Sejahtera”, Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM10.9 bilion untuk tujuan pembangunan dan RM4.9 bilion untuk perbelanjaan mengurus. Sarawak dijangka mendapat pungutan hasil sebanyak RM14.2 bilion pada tahun depan, dengan hasil cukai dan bukan cukai masing-masing berjumlah RM6.2 bilion dan RM7 bilion.
Belanjawan 2025 memperbaharui dan mengesahkan komitmen Kerajaan Sarawak untuk memperjuangkan kebajikan rakyat melalui langkah-langkah yang disasarkan bertujuan meringankan beban kewangan kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana serta meneruskan pelaksanaan program dan projekprojek penting rakyat.
Kalaulah Guan Eng mempunyai maruah, beliau sepatutnya mengakui secara terbuka bahawa beliau tersilap dan membuat perkiraan salah. Kini beliau terpaksa menelan pil pahit.
Justeru, memang wajar Premier Sarawak menegur Ahli Dewan Undangan Negeri Padungan, Chong Chieng Jen di DUN agar menghentikan kebimbangan tidak berasas beliau sehingga boleh menimbulkan ketakutan tentang masa depan Sarawak dari segi kewangan.
Hal ini demikian kerana Sarawak telah mewujudkan Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak, dengan peruntukan RM8 bilion, dengan suntikan dana setiap tahun, sehingga selama 20 tahun, dan ia tidak boleh dikeluarkan kecuali jika berlaku krisis sehingga memerlukan sumber wang tambahan bagi menjamin kesejahteraan rakyat.
Justeru, tangkis beliau, bahawa rizab Sarawak berisiko dan berkurangan seperti didakwa pembangkang adalah tidak berasas sama sekali.
Perlu diketahui bahawa matlamat Kerajaan Sarawak adalah untuk membiarkan dana itu berkembang dengan stabil selama dua dekad.
Hakikatnya, berbeza daripada ramalan dan dakwaan pemimpin DAP, hasil dan pendapatan Sarawak meningkat dari tahun ke tahun.
Malah, belanjawan dan peruntukan untuk pembangunan semakin meningkat. Seyogia diingatkan, keupayaan kewangan Sarawak semakin diperkukuh dengan kutipan hasil cukai jualan negeri daripada produk petroleum, kini sebanyak RM18.6 bilion.
Di bawah kepimpinan Premier Sarawak, negeri ini telah mencatatkan peningkatan yang signifikan dalam hasil dan pendapatan, terutamanya melalui pelaksanaan dasar ekonomi yang strategik dan progresif. Antara sumber utama yang menyumbang kepada pertambahan ini ialah hasil cukai jualan negeri terhadap produk petroleum.
Pengenalan dan penguatkuasaan SST ke atas produk petroleum seperti minyak mentah, gas asli cecair (LNG), dan produk berasaskan petroleum lain pada 2019 merupakan pencapaian besar.
Langkah ini mencerminkan usaha Kerajaan Sarawak untuk memperkukuh autonomi fiskal, selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Hasil cukai ini menyumbang kepada peningkatan pendapatan negeri sehingga mencapai angka yang memberangsangkan, menjadikan Sarawak antara negeri yang paling berdaya maju dari segi kewangan di Malaysia.
Hasil cukai jualan petroleum digunakan untuk membiayai pelbagai projek pembangunan strategik, termasuk infrastruktur asas, bekalan air dan elektrik luar bandar, pendidikan, penjagaan kesihatan, serta memperkukuhkan sektor ekonomi utama seperti pertanian dan pelancongan.
Pelaburan ini bertujuan meningkatkan taraf hidup rakyat Sarawak dan merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar.
Selain itu, Kerajaan Negeri juga mengukuhkan pendapatan melalui pelbagai inisiatif lain, termasuk pembangunan sektor tenaga hijau seperti hidrogen dan solar, pelaburan dalam industri hiliran, dan memperkasakan usaha pemuliharaan sumber asli.
Pendekatan holistik ini bukan sahaja menjamin kestabilan kewangan tetapi juga meletakkan Sarawak sebagai peneraju ekonomi mampan di peringkat nasional dan antarabangsa.
Di bawah kepimpinan Premier, Sarawak menunjukkan contoh terbaik bagaimana autonomi fiskal boleh dimanfaatkan untuk memacu pembangunan dan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.
Jadi, kita wajar bertanya apakah agenda Lim Guan Eng dan Chong Chieng Jen?
Sudah terang lagi bersuluh, mereka memang mempunyai agenda politik yang tersembunyi.
• Dato Dr Jeniri Amir ialah pengamat politik dan Felow Kanan Majlis Profesor Negara.



