KUCHING: Datuk Mutang Tagal mempunyai latar belakang yang ideal untuk jawatan Yang di-Pertua Dewan Negara, kata Naib Presiden Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah
Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan berkata, Mutang yang mempunyai latar belakang luas dalam perundangan mampu mengawasi perjalanan mesyuarat Dewan Negara dengan efektif.
“Beliau telah lama berehat daripada politik dengan kali terakhir menjadi wakil rakyat sekitar tahun 80-an ke 90-an.
“Ia tempoh yang lama namun beliau mempunyai latar belakang yang bersesuaian untuk menggalas jawatan itu,” katanya pada sidang media sempena filem Raya Mas-Salako Sacred Treasure di restoran Muzium Budaya Borneo, di sini hari ini.
Abdul Karim berkata, pelantikan Mutang juga mempunyai kepentingan untuk masyarakat Dayak dan Orang Ulu di negeri ini.
Mutang, 69, bekas Ahli Parlimen Bukit Mas dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara ke-20 pada semalam.
Beliau mengangkat sumpah sebagai senator di hadapan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Nur Jazlan Mohamed.
Pelantikan Mutang adalah untuk tempoh tiga tahun, bermula dari 15 Februari 2024 hingga 14 Februari 2027.





