SIBU: Cadangan menjadikan festival muzik air sebagai acara tahunan di Sibu dilihat mampu melonjakkan bandar itu sebagai hab pelancongan dan seni antarabangsa, di samping merancakkan ekonomi tempatan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan Datuk Seri Wong Soon Koh berkata, pihaknya bersedia meneroka penganjuran acara seumpamanya susulan kontroversi yang melanda festival muzik air di Semenanjung Malaysia yang berdepan bantahan daripada pihak tertentu.
Menurut beliau, jika terdapat pihak di Semenanjung yang tidak dapat menerima acara berbentuk kreatif dan berbilang budaya, Sarawak khususnya Sibu sedia membuka ruang dengan pendekatan lebih inklusif. Beliau dalam satu kenyataan semalam, menyatakan sokongan penuh terhadap Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merangkap Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Datuk Seri Tiong King Sing.
Soon Koh memaklumkan beliau akan mengadakan perbincangan rasmi dengan Tiong bagi meneliti kemungkinan penganjuran festival muzik air di Dataran Bandar Sibu, serta mencadangkannya sebagai acara tahunan ikonik.
“Langkah ini bukan sahaja bertujuan mempromosikan pelancongan, malah berpotensi meletakkan Sibu sebagai pusat seni dan budaya utama di Sarawak serta dikenali di peringkat global,” katanya.
Mengulas lanjut, Soon Koh menegaskan bahawa polemik yang berlaku di Semenanjung memperlihatkan perbezaan ketara dari segi penerimaan budaya berbanding Sarawak yang terkenal dengan keharmonian masyarakat majmuknya.
Katanya, pendekatan model Sarawak yang menitikberatkan saling menghormati, persefahaman dan keterangkuman menjadi kekuatan utama negeri ini dalam menganjurkan acara berskala besar.
Dalam pada itu, beliau menjadikan kejayaan Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) di Kuching sebagai contoh terbaik, acara seni mampu menarik kehadiran pelancong antarabangsa dan memperkukuh imej Sarawak di persada dunia.
“Sibu yang kaya dengan keunikan Sungai Rajang serta warisan budaya juga mempunyai potensi besar untuk diketengahkan melalui acara hiburan moden yang berkualiti,” ujarnya.
Beliau menambah, penganjuran festival muzik air mampu memberi limpahan ekonomi kepada pelbagai sektor termasuk makanan dan minuman, perhotelan, pengangkutan serta peruncitan.
Selain itu katanya, acara berkenaan juga berupaya memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum kerana muzik bersifat universal dan mampu menyatukan semua lapisan.
Dalam jangka panjang, Soon Koh percaya festival tersebut boleh membentuk identiti tersendiri kepada Sibu sebagai jendela muzik dan budaya Sarawak di mata dunia.
Beliau turut menegaskan rakyat Sarawak tidak terikat dengan pemikiran sempit dan akan terus mengangkat nilai keterbukaan serta perpaduan melalui platform seni dan budaya.
“Sudah tiba masanya potensi Sibu diketengahkan sepenuhnya dan kita akan bersama-sama memastikan nama bandar ini terus bergema di peringkat antarabangsa,” katanya.



