ARTIKEL

Muzik tanpa batas usia

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

DARIPADA rentak indie yang dekat dengan jiwa anak muda hingga lagu malar segar yang merentas zaman, Ultra Kalcer Malaysia 2026 menyatukan peminat muzik pelbagai generasi di atas satu pentas, menghubungkan bakal Malaysia dan Indonesia menerusi bahasa sejagat yang tidak mengenal sempadan.

Berlangsung selama dua hari di KL Festival Park, Kuala Lumpur, festival itu menghimpunkan 19 artis dari dua negara serumpun, sekali gus menawarkan pengalaman muzik yang melangkaui persembahan pentas semata-mata.

Di sebalik sorakan penonton, nyanyian beramai-ramai dan rentak muzik yang silih berganti, terserlah bagaimana muzik mampu menemukan kelompok yang berbeza dari segi usia, latar belakang dan cita rasa dalam ruang yang sama.

Bagi generasi muda, festival itu menjadi medan untuk merai kan budaya yang dekat dengan kehidupan mereka, termasuk muzik indie, ekspresi seni dan subbudaya yang berkembang seiring dengan perubahan zaman.

Namun, kemeriahan itu tidak terhad kepada satu generasi apabila kehadiran penyanyi tersohor Indonesia, Kris Dayanti, turut menghidupkan pentas menerusi rangkaian lagu yang sekian lama dekat di hati peminat.

Pada usia 51 tahun, Kris Dayanti membuktikan pesona seorang penghibur tidak dibatasi oleh faktor usia atau kelompok pendengar tertentu apabila persembahannya berjaya menarik perhatian kira-kira 7,000 penonton pada malam pertama festival.

Sepanjang persembahan selama satu jam, Kris Dayanti membawa penonton menyusuri perjalanan muziknya menerusi lagu seperti Jika Kau Tak Datang, Rembulan (Semesta), Pilihlah Aku, Menghitung Hari, Mencintaimu, Cahaya dan Penasaran.

Persembahan diteruskan dengan gabungan lagu Mahadaya Cinta, Semua Jadi Satu dan Kamu Di Hatiku Selamanya sebelum beliau mengakhiri penampilannya menerusi lagu I’m Sorry Goodbye sebagai persembahan tambahan (encore).

Menariknya, hubungan antara penyanyi berpengalaman itu dengan penonton muda tidak terbatas pada nyanyian semata-mata.

Kris Dayanti bijak menghidupkan suasana menerusi interaksi spontan, malah turun dari pentas untuk mengajak penonton menyanyi bersama.

Momen itu memperlihatkan bagaimana lagu yang popular dalam kalangan generasi terdahulu masih mampu mendapat tempat dalam kalangan pendengar muda, terutama apabila disampaikan melalui persembahan bertenaga dan interaksi yang bersahaja.

Bagi Kris Dayanti, peluang membuat persembahan di Ultra Kalcer Malaysia 2026 turut membawa kegembiraan tersendiri kerana festival itu memberi tumpuan kepada muzik anak muda.

“Saya senang sekali malam ini kerana kita tahu Ultra Kalcer ini adalah festival muzik anak-anak muda dan mungkin saya datang dari generasi yang berbeza dari anak-anak Ultra Kalcer.

“Tapi, saya semakin yakin melihat muzik yang dilahirkan dan dikaryakan dari hati, insya-Allah, akan terus hidup di hati generasi mana pun,” katanya.

Dalam industri hiburan yang sentiasa melahirkan nama baharu dan aliran muzik yang berbeza, pertemuan antara artis berpengalaman dengan pendengar muda turut membuka ruang kepada karya terdahulu untuk terus dikenali, dihayati dan dihargai.

Selain merai kan nama besar seperti Kris Dayanti, Ultra Kalcer Malaysia 2026 turut memberi ruang kepada pemuzik indie dan artis kontemporari untuk memperkenalkan karya masing-masing kepada khalayak yang lebih luas.

Bagi artis yang sedang membina nama, festival seumpama itu menyediakan peluang untuk tampil di pentas yang menghimpunkan peminat daripada pelbagai latar belakang muzik, selain memperluas jangkauan karya mereka ke luar negara asal.

Kris Dayanti sendiri menyambut baik peluang yang diberikan kepada pemuzik muda, kumpulan indie dan penyanyi solo wanita dari Indonesia untuk membuat persembahan di Malaysia.

“Sebagai artis jemputan dari Indonesia, saya juga berasa bangga kerana banyak kugiran anak muda dan indie serta penyanyi solo wanita yang diundang untuk membuat persembahan di Ultra Kalcer Malaysia 2026.

“Terima kasih kerana memberi ruang dan peluang serta rezeki buat mereka,” tambahnya.

Pengiktirafan terhadap bakat baharu penting dalam memastikan industri muzik terus berkembang, khususnya apabila generasi muda semakin aktif menghasilkan karya dengan identiti dan pendekatan tersendiri.

Istilah kalcer yang berasal daripada perkataan culture dalam bahasa Inggeris mencerminkan budaya anak muda yang merangkumi gaya hidup, ekspresi seni dan kecenderungan terhadap muzik alternatif serta indie.

Dalam konteks festival ini, budaya tersebut diterjemahkan melalui kepelbagaian artis dan genre yang ditampilkan, sekali gus memberi ruang kepada peminat untuk meneroka muzik di luar kebiasaan mereka.

Pada masa sama, penyertaan artis dari Malaysia dan Indonesia membuka peluang kepada pemuzik untuk memperkenalkan karya kepada pendengar serantau, sekali gus memperkukuh hubungan dalam industri muzik kedua-dua negara.

Kepelbagaian menjadi antara tarikan utama festival anjuran Neptunes Presents itu apabila barisan artis yang diketengahkan mewakili pelbagai gaya persembahan dan latar belakang muzik.

Hari pertama dimulakan dengan persembahan Belia Benci Club, CityKops, Good Morning Everyone dan The Alif, sebelum diteruskan dengan persembahan Danilla, Kris Dayanti, Fugo, Sal Priadi, Hindia dan Pamungkas.

Selain persembahan Kris Dayanti, segmen istimewa kumpulan Fugo bersama-sama penyanyi legenda Malaysia, Datuk Francissca Peter dan Fynn Jamal turut mencuri perhatian.

Gabungan artis daripada latar belakang dan era muzik yang berbeza itu memperlihatkan bagaimana sesebuah festival mampu menyatukan pelbagai identiti seni dalam satu acara tanpa mengehadkan pengalaman penonton kepada genre tertentu.

Pada hari kedua, acara diteruskan dengan persembahan Belia Benci Club, Okirama, Dukes, Biru Baru, Rumah Sakit, Barasuara, Naykilla, Lomba Sihir, Romantic Echoes & The Moonlight Knights serta Feel Koplo.

Sepanjang dua hari penganjuran, festival itu menerima lebih 12,000 pengunjung yang hadir untuk menikmati persembahan artis kegemaran masing-masing.

Walaupun hujan lebat melanda pada kedua-dua malam, pengunjung tetap memberikan sokongan kepada barisan artis yang silih berganti membuat persembahan di atas pentas. Ada yang menyanyi bersama-sama, manakala yang lain menikmati suasana festival bersama rakan-rakan.

Selain muzik oleh DJ Belia Benci Club turut mengekalkan kemeriahan suasana, sementara gerai makanan dan minuman menyediakan ruang untuk pengunjung berehat sebelum kembali menikmati persembahan seterusnya.

Keseluruhan pengalaman itu memperlihatkan daya tarikan festival muzik bukan sahaja bergantung pada nama besar yang disenaraikan, tetapi turut terletak pada suasana, kepelbagaian persembahan dan peluang untuk peminat berkongsi minat sama.

Lebih daripada sebuah acara hiburan, Ultra Kalcer Malaysia 2026 memperlihatkan potensi muzik sebagai medium untuk mengukuhkan hubungan antara Malaysia dengan Indonesia.

Kedua-dua negara mempunyai persamaan dari segi bahasa dan budaya, namun masing-masing turut mempunyai identiti serta perkembangan muzik tersendiri.

Pertemuan artis dari kedua-dua negara membolehkan peminat mengenali karya baharu, sementara pemuzik berpeluang memperluas jaringan dan menjangkau khalayak yang lebih besar.

Bagaimanapun, usaha menghimpunkan artis dari dua negara turut berdepan dengan cabaran.

Sebelum festival berlangsung, penganjurnya, Mohd Izwan Johar, pernah berkongsi mengenai cabaran mendapatkan penyanyi Indonesia, termasuk Hindia, untuk menyertai acara berkenaan.

Usaha itu memperlihatkan penganjuran festival serantau memerlukan perancangan dan kerjasama berterusan bagi memastikan kepelbagaian artis serta pengalaman yang ditawarkan kepada penonton dapat dikekalkan.

BERITA LAIN

Bumi datar dan tembok ais

MENARIK tentang manusia, semakin banyak teknologi digunakan untuk menjelaskan dunia, semakin banyak pula persoalan muncul yang mencabar penjelasan tersebut. Di tengah-tengah kemajuan sains dan penerokaan

BERITA TERBARU