
KUCHING: Tarikan unik dan interaktif Muzium Budaya Borneo (BCM) berjaya menarik seramai 600,165 pengunjung tempatan termasuk pelancong luar setakat 13 Februari tahun ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, daripada jumlah itu seramai 586,401 pengunjung tempatan manakala 13,764 pelancong dari luar negara.
Katanya, pengunjung tempatan yang telah melawat muzium tersebut merangkumi seramai 541,840 dari Sarawak, diikuti sebanyak 5,949 dari Sabah, Semenanjung Malaysia (38,502) dan Wilayah Persekutuan Labuan (110).
“Dalam pada itu, seramai 13,764 pengunjung luar direkodkan dari Indonesia, Singapura, United Kingdom, Australia, Brunei, Perancis, Jepun, Korea, Jerman, Amerika Syarikat dan banyak lagi,“ katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi dan Jalinan Kasih Jabatan Muzium Sarawak 2023 di Hotel Pullman di sini, malam tadi.
Sementara itu, Abdul Karim berkata muzium kedua terbesar di Asia Tenggara dan terbesar di Malaysia itu turut menarik minat Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Baginda katanya, telah berkunjung sebanyak dua kali ke BCM untuk menghayati artifak-artifak yang dipamerkan.
“Baginda turut mendermakan dua helai keringkam miliknya kepada Jabatan Muzium Sarawak (JMS) untuk dipamerkan di BCM,” katanya.




