BEIJING: Perjalanan transformasi China daripada sebuah negara yang pernah dihimpit peperangan dan kemiskinan kepada kuasa ekonomi serta teknologi dunia dipaparkan secara menyeluruh di Muzium Parti Komunis China (CPC) yang terletak di tengah ibu negara ini.
Muzium yang berada berhampiran kawasan Olympic Green Beijing itu menghimpunkan ribuan bahan pameran berkaitan sejarah lebih satu abad pembangunan China termasuk era revolusi, pembentukan kerajaan baharu dan kebangkitan negara itu sebagai antara kuasa besar dunia.


Dengan keluasan hampir 150,000 meter persegi, muzium tiga tingkat berkenaan menampilkan lebih 2,500 keping gambar serta lebih 4,500 artifak sejarah yang memaparkan kronologi perjuangan Parti Komunis China dan pembangunan negara secara mendalam.
Antara tarikan utama termasuk replika lokasi Kongres Kebangsaan Pertama Parti Komunis China di Shanghai pada 1921, paparan berkaitan “Red Boat” di Jiaxing, rakaman pengisytiharan Republik Rakyat China pada 1949 serta pelbagai bahan berkaitan era reformasi dan keterbukaan yang diperkenalkan Deng Xiaoping.

Muzium itu turut menawarkan pengalaman imersif menerusi simulasi multimedia 5D selain memaparkan pencapaian moden China dalam bidang teknologi kecerdasan buatan, aeroangkasa, penerokaan laut dalam dan program angkasa seperti misi Chang’e dan Tianwen.
Menurut laporan Bernama, muzium berkenaan dibuka secara percuma kepada orang awam sejak Julai 2021 dan beroperasi setiap hari kecuali Isnin.



