ARTIKEL

MyFutureJobs bantu warga emas

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Apabila berbicara tentang pencarian pekerjaan, golongan graduan dan belia sering menjadi tumpuan utama. Namun, peluang pekerjaan sebenarnya tidak terhad kepada golongan muda sahaja.

Warga emas yang masih sihat, berkemahiran dan mempunyai keinginan untuk bekerja juga masih mempunyai peluang dalam pasaran pekerjaan.

Malah, pengalaman bertahun-tahun dalam dunia pekerjaan boleh menjadi kelebihan yang tidak boleh dipandang ringan.

Sehubungan itu, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) terus memperluas akses kepada peluang pekerjaan bagi pelbagai golongan melalui platform MyFutureJobs, termasuk warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan bekas banduan.

Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan PERKESO Negeri Sarawak, Sabrina Wilson Dakau, berkata program bersama Kelab Digital Warga Emas memberi tumpuan kepada pendedahan tentang peluang pekerjaan serta penggunaan platform MyFutureJobs bagi membantu warga emas mendapatkan pekerjaan yang sesuai.

“Di PERKESO, kami membuka peluang kepada semua golongan. Kami membantu warga emas, OKU, bekas banduan dan sesiapa sahaja yang sedang mencari pekerjaan,” ujarnya.

Tambahnya, PERKESO bukan sahaja berperanan sebagai agensi yang menguruskan faedah perlindungan sosial, malah turut membantu masyarakat mendapatkan pekerjaan.

“Fokus utama program ini ialah memperkenalkan peluang pekerjaan kepada warga emas serta memberi penerangan mengenai platform MyFutureJobs.

“Setiap kali kami mengadakan karnival kerjaya atau sesi temu duga, ramai warga emas yang telah bersara hadir untuk mengikuti sesi temu duga.

“Ini membuktikan masih ramai warga emas yang berminat untuk kembali bekerja,” jelasnya.

Beliau berkata peluang pekerjaan yang ditawarkan kepada warga emas turut mengambil kira keupayaan fizikal mereka.

“Kami mengutamakan pekerjaan yang tidak terlalu berat dari segi fizikal tetapi berkualiti, seperti jawatan kerani, pembantu pentadbiran dan jawatan lain yang bersesuaian,” katanya.

Sabrina menjelaskan MyFutureJobs menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi membantu pencari kerja mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian.

“Apabila pencari kerja mengisi maklumat dan memilih jenis pekerjaan yang diingini, sistem akan memadankan pekerjaan yang sesuai secara automatik.

“Sebab itu, terdapat dua pilihan dalam portal tersebut, iaitu Matching Jobs dan Search Jobs,” ujarnya.

Beliau menyatakan bahagian Matching Jobs memaparkan jawatan yang sepadan dengan kelayakan pengguna, sekali gus mengelakkan mereka daripada memohon pekerjaan yang tidak memenuhi syarat.

“Ini memudahkan urusan antara majikan dengan pencari kerja kerana MyFutureJobs digunakan oleh kedua-dua pihak,” katanya.

Menurutnya, platform ini diwujudkan sejak 2018 dan penggunaannya semakin meluas ketika pandemik COVID-19 kerana ramai anggota masyarakat kehilangan pekerjaan.

“Pada waktu itu, PERKESO memperluas perkhidmatan MyFutureJobs kepada semua golongan masyarakat.

“Jika dahulu platform ini lebih tertumpu kepada pencarum PERKESO, kini semua individu boleh menggunakannya,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata berdasarkan statistik keseluruhan bagi Sarawak, warga emas yang masih aktif bekerja pada tahun ini dianggarkan seramai 2,000 hingga 3,000 orang.

“Statistik keseluruhan akan diumumkan pada penghujung tahun kerana data dikumpulkan mengikut negeri,” katanya.

Tambahnya, berdasarkan statistik setakat Julai 2026, seramai 275 individu berumur 60 tahun ke atas di Sarawak, termasuk pesara dan bekas guru, masih berdaftar dalam sistem MyFutureJobs.

“Disebabkan masih ramai warga emas yang mahu bekerja, kami sentiasa mengadakan sesi advokasi bersama majikan bagi menggalakkan mereka membuka peluang pekerjaan kepada warga emas yang masih mempunyai pengalaman dan keupayaan untuk menyumbang,” katanya.

Menurut Sabrina, maklum balas yang diterima daripada orang ramai amat positif, khususnya dalam kalangan pencari kerja yang menggunakan platform MyFutureJobs.

“Sesi temu duga terbuka diadakan setiap minggu dan setiap bulan, selain melalui karnival kerjaya tahunan.

“Berbanding dahulu, pencarian kerja kini jauh lebih mudah kerana boleh dilakukan hanya dengan menggunakan telefon pintar. Pencari kerja hanya perlu hadir apabila dipanggil untuk menghadiri temu duga,” katanya.

Katanya, bagi mereka yang berada di Kuching, sesi temu duga turut diadakan setiap minggu di UTC Kuching.

Tambahnya, majikan digalakkan mengamalkan konsep hire by person, iaitu menilai calon berdasarkan keupayaan dan pengalaman, bukan semata-mata berdasarkan faktor umur.

Dalam pada itu, Sabrina menasihatkan pencari kerja supaya membuat persediaan sebelum menghadiri temu duga.

“Pertama, sediakan resume yang lengkap. Kedua, bawa semua dokumen penting seperti kad pengenalan, salinan kad pengenalan dan dokumen sokongan lain. Bawa pen kerana ia diperlukan untuk mengisi borang,” jelasnya.

Beliau turut berkata persediaan mental dan fizikal penting sebelum menghadiri temu duga.

“Pada setiap poster hebahan program, kami turut menyediakan senarai semak supaya peserta tidak terlupa membawa barangan dan dokumen yang diperlukan,” ujarnya.

Justeru, beliau menegaskan perkara paling penting ialah pencari kerja perlu mengetahui jenis pekerjaan yang ingin diceburi.

“Jika seseorang tidak pasti tentang pekerjaan yang diingini, proses pencarian pekerjaan akan menjadi lebih sukar,” ujarnya.

Menurutnya, keadaan itu sering berlaku apabila pencari kerja hadir ke kaunter pendaftaran dan bertanya tentang pekerjaan yang sesuai dengan mereka.

“Oleh itu, mengenal pasti minat dan bidang pekerjaan yang ingin diceburi merupakan langkah pertama yang sangat penting,” katanya.

Sabrina berkata minat warga emas untuk terus bekerja bergantung pada tahap kesihatan, motivasi dan komitmen masing-masing.

Beliau turut berkongsi pengalaman peribadi mengenai ibunya yang juga seorang pesara. Namun, faktor kesihatan menyebabkan ibunya tidak lagi mampu bekerja.

“Walaupun begitu, peluang pekerjaan tetap terbuka kepada semua warga emas yang masih sihat, bermotivasi dan tidak mempunyai komitmen yang menghalang mereka daripada bekerja,” katanya.

Beliau berharap lebih ramai majikan bersikap terbuka dan memberikan peluang pekerjaan kepada semua golongan tanpa mengira usia.

Sabrina berkata usaha memperkenalkan peluang pekerjaan kepada warga emas bukanlah sesuatu yang baharu kerana kerjasama tersebut telah dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu bersama Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE).

“Kami menjelajah seluruh Sarawak bagi menyampaikan mesej yang sama, iaitu memperkenalkan peluang pekerjaan kepada warga emas.

“Masih ramai warga emas yang berminat untuk bekerja selagi mereka sihat, bermotivasi dan tidak mempunyai komitmen lain,” katanya.

Sabrina menyatakan warga emas yang berminat untuk mencari pekerjaan boleh memuat turun aplikasi MyFutureJobs PERKESO melalui App Store atau Google Play.

Selain itu, beliau berkata mereka juga boleh melayari laman web myfuturejobs.perkeso.gov.my atau hadir ke mana-mana pejabat PERKESO untuk mendaftar dan mencari peluang pekerjaan.

BERITA LAIN

Tubi Mbos khazanah kulinari Bidayuh

TUBI mbos merupakan warisan kulinari masyarakat Bidayuh Biatah di Kampung Pain Bojong yang lahir daripada kearifan tempatan sebagai bekalan makanan mesra alam untuk penduduk ke

BERITA TERBARU