MyTeam benam Tellian Daya

SKUAD serba muda, My Team menumbangkan pasukan pilihan, Tellian Daya 3-0 dalam aksi ‘kumpulan maut’ Kejohanan Bola Sepak MuFA Piala Dun Tellian di Padang Mesra MDDM Mukah petang semalam.

Gandingan adik-beradik muncul wira MyTeam. Rozman Bahari membuka tirai jaringan seawal minit kedua.

Manakala abangnya, Shukri Bahari meledakkan dua gol pada minit ke-60 dan 70. Rozman merupakan pemain skuad Belia Sarawak 2019.

Dengan kemenangan itu, maka MyTeam mengungguli Kumpulan B, serta layak ke suku akhir.

Manakala naib juara bakal menjadi rebutan Educ Mukah dan Tellian GPS.

MyTeam dibimbing oleh bekas pemain Sarawak, Jamal Wasli yang juga penolong jurulatih pasukan Belia Sarawak 2019. Jamal dibantu oleh seorang lagi bekas pemain Sarawak era 80-an, Rosli Akup.

Menurut Jamal, MyTeam dibarisi generasi pemain muda terbaik di Bahagian Mukah.

Malah mereka menjalani latihan hampir setiap hari bagi membentuk gandingan mantap para pemain di samping meningkatkan kecergasan.

Di atas kertas, MyTeam kini menjadi pilihan popular untuk menjuarai kejohanan kali ini. Sebuah lagi pasukan handalan ialah FT Banqku.