MIRI: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah membuat penghantaran 12 unit kontena yang membawa jambatan keluli bermodular atau ‘bailey bridge’ kepada Kerajaan Sarawak.
Majlis ‘flag off’ bagi penghantaran tersebut telah dilaksanakan di Lembaga Pelabuhan Miri (MPA) dan disempurnakan oleh Residen Bahagian Miri, Galong Luang, pada Isnin lalu.
Penghantaran tersebut merupakan antara persediaan awal NADMA dalam menghadapi gelombang kedua Monsun Timur Laut (MTL) 2024-2025 dengan menghantar jambatan bailey ke Sabah dan Sarawak.
Inisiatif itu juga diambil untuk meningkatkan kesiapsiagaan logistik bencana sejajar jangkaan keperluan serta kejayaan penggunaan jambatan bailey terdahulu dalam memulihkan gangguan jaringan jalan perhubungan yang terjejas akibat kerosakan jambatan.
Penghantaran kontena tersebut dilakukan dalam dua sesi berasingan dengan enam unit pertama dihantar pada jam 9 pagi, diikuti dengan penghantaran enam unit lagi pada jam 2 petang.
Konvoi penghantaran telah diiringi oleh pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Miri untuk memastikan keselamatan perjalanan.
Sementara itu, kontena pertama tiba di Jabatan Kerja Raya (JKR) Miri pada jam 10.33 pagi, manakala penghantaran kedua tiba tepat pada jam 4 petang.
Kedua-dua penghantaran tersebut disambut oleh wakil Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri, Nora Shafia Muhiyuddin.
Dalam pada itu, jambatan keluli bermodular yang dihantar akan dipasang di kawasan pedalaman Baram dalam tempoh enam bulan.






