J UDUL yang menghidupkan semula nostalgia cerita kanakkanak ini pasti membuat penonton tertanya-tanya tentang jalan cerita bagi kisah dongeng yang sering kali hanya bersifat ringan, penuh dengan elemen klise yang sering kita jumpa ketika menonton cerita dongeng.
Namun, filem Dongeng Sang Kancil ini mengubah pandangan saya sebagai penonton kerana saya disambut dengan pengalaman yang jauh berbeza berbanding filem atau cerita dongeng sebelum ini.
Walaupun sekadar cerita dongeng, filem ini berjaya menghidupkan kembali cerita tentang Sang Kancil yang sudah lama terbenam di lubuk fikiran kita.
Ia juga berjaya membawa saya untuk meneroka dimensi waktu kecil saya menerusi plot cerita yang menyentuh perasaan dan merangsang pemikiran kita sebagai penonton.
Lebih menarik lagi, Dongeng Sang Kancil ini berani mengambil pendekatan yang luar dari kotak apabila menaikkan watak Sang Kancil yang bukan sahaja seekor haiwan yang bijak dan pandai, namun turut mempunyai sifat pejuang dalam menghadapi haiwan pemangsa seperti harimau dan buaya.
Seterusnya, unsur persahabatan, pengorbanan dan perjuangan demi kebaikan bersama turut diselitkan dalam filem ini yang menjadikan filem ini bukan sahaja sesuai untuk mereka berumur bawah 12 tahun tetapi juga orang dewasa seperti kita. Ini membuatkan kita tidak berasa bosan kerana ceritanya boleh dikaitkan dengan dunia nyata.
Menerusi animasi dalam filem yang memukau dengan sinematografi yang kaya warna dan pencahayaan ini, ia memberi kehidupan baru pada setiap adegan.
Setiap watak, termasuk Sang Kancil, Harimau, dan Buaya, ditampilkan dengan kedalaman, mengubah mereka daripada sekadar stereotaip kepada entiti dengan kekuatan dan kelemahan, menjadikan konflik terasa lebih nyata dan mendalam. Jalan cerita yang penuh liku memberi pengalaman tak terlupakan, membawa penonton melihat kisah klasik Sang Kancil dari perspektif baharu.
Filem ini mengubah dongeng lama menjadi cerita yang lebih kompleks, emosional, dan penuh pertembungan moral yang menggugah pemikiran.
Melalui kisah persahabatan, pengorbanan, dan keberanian, Dongeng Sang Kancil bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga menyampaikan mesej mendalam tentang nilai-nilai kehidupan.
Filem ini lebih daripada sekadar hiburan. Ia juga karya seni yang mengangkat kisah klasik ke tahap yang lebih tinggi.
Dengan kekuatan naratif yang memikat, Dongeng Sang Kancil akan terus dikenang sebagai salah satu filem animasi terbaik Malaysia, memberi kesan mendalam kepada setiap penonton.



