PERAK: Kerajaan Sarawak menerusi delegasi Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA XXI Sarawak 2024 turut berdukacita susulan insiden dua helikopter bertembung di ruang udara dan terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut di sini semalam.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu mengucapkan takziah kepada semua keluarga mangsa yang terlibat dalam nahas tersebut semasa melakukan kunjungan hormat delegasi SUKMA dan Para SUKMA XXI Sarawak 2024 di Bilik Gerakan Pejabat Setiausaha Kerajaan Perak di sini hari ini.
Jelasnya, insiden itu juga sangat dirasai delegasi kerana ia membabitkan seorang anak Sarawak yang turut terkorban semasa menjalankan tugas demi negara.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah mewakili Menteri Besar Perak, dalam ucapan alu-aluannya berkata Kerajaan Perak turut bersedia menghantar atlet dan pegawai mereka ke temasya SUKMA dan Para SUKMA XXI Sarawak 2024.
Katanya, kontinjen Perak berhasrat untuk merangkul lebih banyak pingat emas sekaligus merangkul kejuaraan pada tahun ini.
Menutup tirai kunjungan hormat delegasi bagi zon utara, turut berlangsung penyerahan watikah jemputan SUKMA dan Para SUKMA XXI Sarawak 2024 serta pertukaran cenderamata antara Kerajaan Sarawak dengan Kerajaan Perak.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Rosey Yunus, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dolhadi Mazuki, serta Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Nur Alina Abdullah Colliner Gohe.






