KUCHING: Orang ramai yang berkunjung ke Borneo Empurau Farm & Resort (BEFR) di Serian sempena program Borneo Christmas Wonderland & New Year 2025 Countdown, berpeluang menaiki belon udara panas. Program yang dijadualkan bermula dari 24 Disember hingga 4 Januari 2026 itu menyediakan belon udara panas hasil usaha penganjur iaitu OTN & EVP bagi menampilkan kelainan di pusat berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif BEFR, Jerry Yong memberitahu, inisiatif khas pihaknya itu bertujuan memberi peluang kepada pengunjung merasai situasi sebenar menaiki belon udara panas.
“Kesempatan menaiki belon udara panas itu diadakan selama dua hari iaitu pada 24 hingga 25 Disember ini. Ia merupakan inisiatif jawatankuasa penganjur (OTN & EVP) selain usaha memberi kepuasan berganda kepada para pengunjung,” ujar Jerry yang ditemui Suara Sarawak sebentar tadi.
Beliau percaya, dengan kewujudan belon udara panas di tapak kawasan terbabit akan mencetuskan keterujaan pengunjung untuk melihat pemandangan persekitaran.
“Apa yang pasti, pengunjung juga berpeluang merakam gambar dengan pemandangan dari atas,” tambah Jerry sambil mengakui setakat ini lebih 200 individu sudah mendaftar.
Beliau menyatakan belon udara panas berkenaan berupaya menampung berat keseluruhan 220 kilogram.
“Bergantung kepada saiz badan pengunjung. Ia boleh memuatkan dua hingga empat orang dengan masa lima hingga tujuh minit,” jelas Jerry.
Sambil mengakui tiket berharga RM99 untuk kanak-kanak dan RM188 untuk dewasa, Jerry memberitahu sesi menaiki belon udara panas sepanjang dua hari itu bermula dari 7:00 hingga 10:00 pagi dan 7:00 hingga 10:00 malam.
Pengunjung juga boleh menikmati perkhemahan bermalam di lokasi terbabit yang menawarkan pemandangan indah pengembaraan udara.
“Selain menaiki belon udara panas, fotografi profesional turut disediakan untuk merakam pengalaman indah pengunjung.
“Bagi pasangan kekasih yang meraikan hari istimewa, pasti akan mencetuskan suasana yang indah bagi mereka,” menurut Jerry.
Katanya, usaha menyediakan belon udara panas di BEFR pada tarikh tersebut merupakan proses percubaan.
“Jika sambutan memberangsangkan, kita akan teruskan pada tahun depan,” tegas Jerry.


