KUCHING: Semua pihak digesa untuk melihat tragedi yang menimpa dua pelajar sekolah baru-baru ini sebagai ‘panggilan mendesak’ untuk bertindak secara bersama, bukan saling menuding jari.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, semua pihak perlu melihat kejadian yang membimbangkan tersebut dengan serius demi melindungi generasi muda.
“Tragedi yang berlaku membabitkan dua remaja ini amat menyedihkan dan membimbangkan. Pada usia mereka yang sepatutnya dipenuhi kasih sayang, bimbingan dan peluang untuk berkembang, berlaku insiden yang meragut nyawa dan masa depan.
“Marilah kita semua ibu bapa, guru, masyarakat dan kerajaan melihat tragedi ini sebagai panggilan untuk bertindak bersama.
“Menuding jari tidak akan menyelesaikan masalah. Apa yang diperlukan adalah kasih sayang, keprihatinan dan tindakan bersama demi melindungi dan membimbing generasi muda kita,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas mengenai kejadian pelajar perempuan Tingkatan 4 yang disahkan maut selepas ditikam pelajar lelaki berusia 14 tahun di kawasan sekolahnya di Bandar Utama, Petaling Jaya pada 14 Oktober serta seorang pelajar perempuan Tingkatan 3 dilapor dirogol bergilir-gilir di sebuah sekolah menengah di Alor Gajah, Melaka, pada 2 Oktober lalu.
Tegasnya, masyarakat tidak boleh memandang tragedi tersebut sebagai kes terpencil kerana ia mencerminkan cabaran nilai dan tekanan sosial yang sedang dihadapi oleh anak-anak hari ini.
“Saya bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menekankan peranan media sosial dan keperluan tindakan tegas kerajaan.
“Kita juga harus mengimbangi ketegasan dengan empati, memahami bahawa punca kepada isu ini bukan hanya soal disiplin atau teknologi tetapi juga soal bimbingan, komunikasi dan kasih dalam keluarga serta komuniti sekolah,” ujarnya.
“Dengan cabaran baharu yang dihadapi oleh ibu bapa dan kanak-kanak pada hari ini, kementerian saya tidak akan berhenti untuk terus berusaha menambah baik penyampaian perkhidmatan kami.
“Namun, kami tidak mampu untuk bergerak sendirian kerana menangani cabaran ini memerlukan semua pihak untuk memainkan peranan masing-masing.
“Ia bukan sahaja memperkukuh dasar dan program tetapi juga menyokong institusi keluarga dan komuniti melalui pendekatan yang lebih empatik,” tambahnya.



