ARTIKEL

TINJAU....Nanta meninjau keadaan jalan di Ramp 1 Persimpangan Selangau, semalam. (FOTO: FB ALEXANDER NANTA LINGGI)

Nanta jamin pembaikan Ramp 1 Selangau ikut prosedur keselamatan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SELANGAU: Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memberi jaminan kerja-kerja pembaikan di Ramp 1 Persimpangan Selangau akan dilaksanakan secara teratur dan mengikut prosedur keselamatan.

Menurutnya, ini bagi memastikan laluan itu dapat digunakan semula tanpa menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya.

“Keselamatan pengguna Lebuhraya Pan Borneo menjadi keutamaan kami dan sebarang kerja pembaikan perlu dilaksanakan dengan kaedah yang selamat dan tidak menambah risiko kepada orang ramai.

“Isu ini telah mendapat perhatian masyarakat termasuk di media dan media sosial. Setiap teguran daripada rakyat perlu diambil serius, lebih-lebih lagi apabila melibatkan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya, semalam.

Sehubungan itu, beliau memberitahu, berdasarkan taklimat teknikal yang diterima di lokasi kejadian, kerosakan di kawasan itu berpunca daripada kemalangan membabitkan sebuah lori tangki minyak sawit yang melanggar struktur Ramp 1 Persimpangan Selangau.

Jelasnya, impak pelanggaran tersebut menyebabkan sebahagian panel tembok penahan mengalami kerosakan selain menjejaskan struktur berhampiran Abutment B.

“Saya dimaklumkan bahawa kerja-kerja pembaikan struktur akan dilaksanakan secara terkawal bagi memastikan kestabilan kawasan yang terjejas.

“Di samping itu, laluan yang tidak terjejas akan dibuka secara berfasa selepas disahkan selamat, manakala laluan yang masih berisiko akan terus ditutup sehingga semua kerja pembaikan selesai,” tegasnya.

Nanta yang juga Ahli Parlimen Kapit juga telah mengarahkan semua pihak berkaitan supaya memberi keutamaan kepada tiga perkara utama sepanjang proses pembaikan dilaksanakan.

Aspek pertama adalah memastikan keselamatan pengguna jalan raya tidak sesekali dikompromi.

Selain itu, jadual kerja pembaikan perlu dipantau secara rapi bagi mengelakkan kelewatan yang tidak munasabah.

Maklumat kepada orang ramai juga hendaklah disampaikan dengan jelas termasuk berkaitan laluan alternatif, status penutupan jalan dan perkembangan terkini kerja-kerja di tapak.

Dalam pada itu, beliau mengakui penutupan laluan tersebut menimbulkan kesulitan kepada pengguna, khususnya penduduk setempat serta mereka yang kerap menggunakan laluan Bintulu-Mukah-Sibu.

Bagaimanapun, keselamatan pengguna perlu menjadi pertimbangan utama sebelum mana-mana laluan dibuka semula.

Pada masa sama, beliau menghargai maklum balas dan teguran yang diberikan orang ramai kerana ia membantu kerajaan serta agensi pelaksana bertindak dengan lebih pantas dan bertanggungjawab.

“Saya akan terus memantau perkembangan kerja pembaikan di Persimpangan Selangau sehingga laluan kembali selamat digunakan sepenuhnya,” tambahnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU