SIBU: Gabungan Parti Sarawak (GPS) kekal dengan pendirian untuk tidak berpihak dalam pilihan raya di Semenanjung kerana keutamaannya adalah memastikan kestabilan Kerajaan Persekutuan demi memperjuangkan agenda pembangunan Sarawak.
Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata beliau berasa terpanggil untuk mengulas isu yang tular baru-baru ini membabitkan seorang pemimpin GPS yang dilihat membantu berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Menteri Kerja Raya itu berkata pendirian GPS sejak awal adalah untuk mengambil sikap berkecuali dalam pilihan raya yang berlangsung di Semenanjung.
“Saya rasa terpanggil kerana baru-baru ini ada perkara yang dihantar kepada saya membabitkan seorang pemimpin kita dari Sarawak.
“Setahu saya, kita dalam GPS tidak perlulah aktif dalam apa yang berlaku di Semenanjung. Kita mengambil pendekatan yang positif dan berkecuali.
“Sejak awal lagi, pendirian GPS sudah jelas iaitu kita tidak memilih mana-mana pihak. Kita menyokong sesiapa sahaja yang membentuk Kerajaan Persekutuan kerana yang penting ialah kestabilan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan pada Konvensyen Khas PBB Zon Tengah yang dirasmikan oleh Premier Sarawak selaku Presiden PBB, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di Stadium Tertutup Sibu, hari ini.
Tegas Nanta, pendekatan berkecuali itu membolehkan GPS terus memberi tumpuan kepada usaha memperjuangkan hak serta kepentingan Sarawak bersama Kerajaan Persekutuan tanpa dipengaruhi persaingan politik di Semenanjung.
Katanya, fokus utama GPS ialah memastikan agenda pembangunan Sarawak terus dilaksanakan tanpa mengira parti yang membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan.
“Kita lebih objektif. Siapa sahaja yang menjadi Kerajaan Persekutuan, GPS akan terus bekerjasama demi kepentingan Sarawak.
“Kita mempunyai agenda pembangunan sendiri dan sebab itu kita mahu Kerajaan Persekutuan sentiasa stabil supaya agenda pembangunan negeri dapat diteruskan,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan tindakan mana-mana pemimpin GPS yang dilihat terlibat secara aktif dalam kempen pilihan raya di Semenanjung boleh dianggap tidak selari dengan pendirian yang telah dipersetujui gabungan itu.
“Saya melihat perkara itu dari sudut disiplin kerana sejak awal lagi arahan dan pendirian GPS sudah jelas, iaitu kita mengambil pendekatan berkecuali,” katanya.


