TIDAK pernah kes buli membabitkan pelajar mengundang perhatian luar biasa panas dan kontroversi seperti kes membabitkan Zara Qairina.
Kes yang membawa kepada kematian mangsa mencatat sejarah apabila ramai yang mahu membela mangsa, termasuk dengan menunjuk perasaaan dan menulis pelbagai komen melalui media sosial.
Malangnya, akan ada yang mengambil kesempatan untuk memanipulasi, malah memutarbelitkan kejadian itu, termasuk dengan menyebarkan maklumat palsu dan dakwaan tidak berasas.
Awas, akan ada pembuli media sosial yang mengambil kesempatan untuk berlagak samseng.
Spekulasi dan pelbagai tanggapan tidak berasas melalui media sosial harus dihentikan.
Biarkanlah mahkamah dan undang-undang menentukannya. Kebenaran bukan ditentukan oleh tanggapan, tetapi fakta dan bukti di mahkamah.
Zaman media sosial ialah zaman semua orang berlagak pandai dan serba tahu.
Semua hal, kalau dapat, mahu dikomen walaupun sebenarnya mereka tidak tahu akan hujung pangkalnya.
Ya, tentu kita terfikir, mengapakah ada individu, termasuk guru sekolah yang sanggup mendakwa sesuatu yang memang tidak ada kebenaran sama sekali.
Adakah individu berkenaan sakit mental, mahu menarik perhatian netizen lain, atau memang bebal dan tidak bertanggungjawab?
Adakah ini tanda fenomena era pascamoden dan pascakebenaran?
Pascamoden menolak idea bahawa kebenaran adalah mutlak, sebaliknya menganggap kebenaran itu bersifat relatif dan bergantung pada konteks, budaya atau pengalaman individu.
Postmodernisme juga mengkritik struktur kuasa, naratif besar dan menekankan kepelbagaian perspektif.
Pascakebenaran pula menggambarkan keadaan apabila emosi dan kepercayaan peribadi lebih mempengaruhi pandangan umum berbanding fakta objektif. Istilah ini menjadi popular dalam konteks politik.
Maklumat palsu atau manipulatif disebarkan untuk membentuk dan mempengaruhi pendapat awam.
Perkara ini lebih mudah dan lebih berbahaya lagi pada era media sosial semakin meledak.
Dalam era media sosial, pascakebenaran mengaburkan sempadan antara fakta dengan rekaan, menjadikan kebenaran sukar dikenali.
Akibatnya, masyarakat lebih mudah terpengaruh oleh naratif yang menyentuh emosi walaupun tidak benar.
Kita sedar bahawa terdapat dakwaan bahawa Zara dimasukkan ke dalam mesin basuh sehingga mengalami kecederaan dalaman.
Dakwaan itu tular menerusi pelbagai akaun tidak dikenali dalam media sosial, antara lain mengaitkan kecederaan Zara dengan tekanan mesin basuh, kononnya digunakan oleh ‘pembunuh’ untuk menghapuskan cap jari dan asid deoksiribonukleik (DNA).
Akhirnya, seorang guru Bahasa Inggeris mengakui kandungan TikToknya bahawa Zara Qairina mati dengan cara dimasukkan ke dalam mesin basuh sekadar content.
Tidakkah guru ini sedar akan kesannya?
Tidakkah guru berkenaan tahu akan kesan dan implikasinya terhadap keluarga, orang ramai, golongan guru dan dirinya sendiri?
Adakah kandungan media sosial dan jumlah pengikut menjadi kegilaan dan keutamaan sehingga seseorang menjadi begitu obses, dan lupa dirinya?
Tidak cukup dengan itu, terdapat Individu yang mendakwa dirinya sebagai pakar patologi terbabit dalam proses bedah siasat jenazah Allahyarhamah Zara Qairina. Lelaki itu berjaya dikesan di Kota Damansara.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan bahawa pihaknya berjaya mengenal pasti individu yang disyaki menyamar itu di sebalik akaun TikTok ‘Dato’ Prof Dr Tunku Iskandar’.
Sebenarnya, individu itu bukan seorang pakar patologi, manakala polis sudah mengambil keterangan suspek dan merampas peralatan komunikasi miliknya untuk analisis siasatan lanjut .
Terdapat juga kejadian penyebaran gambar pelajar sekolah di platform media massa dan membuat kenyataan negatif terhadap mereka.
Perbuatan begini tentu merupakan satu kesalahan jenayah bawah Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001, serta Seksyen 211 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Penyebaran senarai nama pelajar sekolah yang mengandungi maklumat peribadi mereka juga adalah satu kesalahan jenayah bawah Seksyen 130 Akta Perlindungan Peribadi 2010 serta Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Penyebaran tuduhan, dakwaan dan berita palsu mengenai kematian Zara membawa kesan negatif yang serius. Ia boleh mencetuskan salah faham awam, mengganggu siasatan pihak berkuasa dan mencetuskan tekanan dan gangguan emosi kepada keluarga mangsa.
Penyebaran maklumat yang tidak sahih juga boleh mencemarkan reputasi individu atau institusi yang dikaitkan secara tidak adil, sekali gus menimbulkan ketegangan sosial.
Sikap tidak bertanggungjawab dalam menyebarkan berita palsu boleh menggalakkan budaya fitnah dan ketidaksensitifan terhadap isu kemanusiaan.
Dalam jangka panjang, ini melemahkan kepercayaan masyarakat terhadap media dan sumber maklumat.
Oleh itu, penting bagi setiap individu untuk menyemak kesahihan sesuatu maklumat sebelum berkongsi, serta menghormati proses keadilan dan privasi keluarga mangsa.
Penyebaran berita palsu bukan sahaja tidak beretika dan tidak bertanggungjawab, malah boleh membawa implikasi undangundang.
Adakah individu berkenaan menyedari bahawa perbuatan berkenaan boleh menyebabkan pelajar atau guru terdedah kepada tindakan tidak diingini?
Justeru, individu yang gila publisiti dan syok sendiri itu harus mengawal emosi dan tindakan mereka sebelum membuat dakwaan tidak berasas.
Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.
Kementerian Pendidikan (KPM) sudah membuat lebih 10 laporan polis berhubung penyebaran video dan penulisan negatif dan tidak berasas yang boleh menimbulkan kemarahan awam terhadap guru dan pelajar.
Tindakan tegas mengikut lunas undang-undang perlu dikenakan terhadap individu terbabit supaya rakyat mendapat mesej yang betul bahawa bahawa mereka perlu bertanggungjawab terhadap apaapa yang dimuat naik melalui media sosial.
Pihak berkuasa tidak harus berkompromi terhadap mereka yang memang sengaja memutarbelitkan fakta, serta membuat tuduhan dan dakwaan palsu yang sama sekali tidak berasas.
Kita perlu mengawal naratif tentang kes ini agar tidak ada pihak yang mengambil kesempatan untuk membentuk dan mempengaruhi pendapat umum berasaskan agenda dan motif tertentu serta sesuatu yang tidak benar.
• Dato Dr Jeniri Amir ialah Felow Kanan Majlis Profesor Negara.



