ARTIKEL

Naratif pemikiran Sasterawan Negara

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SEBAGAI seorang Sasterawan Negara, Abdullah Hussain merakam realiti zamannya melalui karya-karya yang mencerminkan sejarah, agama, sosial, dan nilai kemanusiaan.

Setiap karyanya membawa suara masyarakat pada zamannya dan menjadi asas kepada pembentukan masyarakat kini serta menjadi dokumen penting dalam memahami perkembangan entiti sosial di Malaysia.

Buku ini terhasil daripada kajian mendalam oleh 24 ahli sarjana yang bukan sahaja menganalisis pemikiran Abdullah Hussain tetapi juga mengajak pembaca memahami warisan intelektual yang terpamer dalam setiap karyanya.

Tema yang diketengahkan merangkumi sosialisme, pascakolonialisme, cinta, feminisme, pembangunan, sejarah dan agama yang membuktikan keupayaan beliau sebagai penulis yang versatil.

Kebolehannya dalam meneliti peralihan budaya masyarakat dari era penjajahan ke era pascakolonial terserlah dalam Kuala Lumpur Kita Punya yang memperlihatkan kritikan beliau terhadap pengaruh budaya Barat ke atas nilai-nilai tradisional Melayu.

Novel ini menyorot bagaimana masyarakat yang baharu merdeka masih bergelut dengan identiti mereka kerana sering terperangkap dan keliru dalam membezakan antara nilai keislaman dengan keterbukaan terhadap budaya luar.

Kritikan terhadap hedonisme dan perubahan moral dalam kalangan generasi baharu menjadi salah satu isu utama dalam novel ini yang membuktikan bahawa beliau peka akan masalah sosial yang dihadapi generasi pada zaman itu.

Teori sastera yang disampaikan oleh penyelidik di dalam buku ini juga menunjukkan bahawa penulisannya dipengaruhi oleh pengalaman hidup terutamanya semasa Perang Dunia Kedua dan era pascakemerdekaan.

Selain itu, latar belakang keluarganya yang kaya dengan sastera turut membentuk asas pemikirannya dalam bidang sastera sejak awal.

Dalam Interlok misalnya, beliau menampilkan sejarah hubungan antara tiga kaum utama di Malaysia, iaitu Cina, Melayu dan India serta cabaran ekonomi dan sosial yang dihadapi pasca kemerdekaan.

Manakala, Meniti Buih membawa perspektif yang berbeza, iaitu menampilkan usaha membina masyarakat pascakemerdekaan melalui pembangunan yang lebih inklusif dan menyatupadukan mereka.

Jika Interlok menunjukkan kesan dasar kolonial, Meniti Buih menggambarkan cabaran pembangunan dan perubahan sosial.

Kedua-dua novel ini membuktikan keupayaan Abdullah Hussain dalam merakam pergelutan masyarakat dalam sejarah dan realiti sosioekonomi di Malaysia.

Dalam Imam, Abdullah Hussain pula mengangkat wacana keagamaan, menampilkan perjuangan Imam Mihad dalam membawa reformasi agama di kampungnya.

Lalu menjadikan novel ini bukan sekadar kisah perjuangan seorang pemimpin Islam, tetapi juga analisis terhadap ketegangan antara tradisionalisme dan reformisme agama di samping menceritakan aspek imamah, iaitu kepimpinan bukan sekadar tanggungjawab individu, tetapi amanah yang memerlukan ilmu, keadilan dan ketegasan.

Selain kritikan sosial dan keagamaan, Abdullah Hussain juga meneroka tema feminisme dalam karyanya yang menarik minat pengulas dalam setiap penulisan beliau.

Kajian terhadap novelnovelnya menunjukkan bahawa setiap watak wanita ditampilkan dalam pelbagai dimensi — daripada wanita yang lemah dan tertindas kepada wanita berpendidikan yang memiliki kekuatan intelektual dan spiritual.

Namun, sebagai seorang penulis lelaki, perspektifnya terhadap feminisme sering dikaji dengan teliti kerana gambaran wanita dalam karyanya masih dipengaruhi oleh norma patriarki pada zamannya.

Dari aspek naratif, Abdullah Hussain juga menggabungkan unsur realisme dan mitologi Melayu yang menurut pengulas, setanding dengan karya Gabriel Garcia Marquez dalam One Hundred Years of Solitude apabila Abdullah Hussain menggunakan elemen mitos dan keajaiban dalam ceritanya untuk mencerminkan realiti masyarakat.

Intan misalnya, mengangkat naratif dongeng untuk menyampaikan kritikan sosial mengenai perubahan status sosial dan eksploitasi kekayaan dalam masyarakat moden.

Selain itu, karya-karyanya juga diperkaya dengan unsur geografi yang bukan sekadar latar tempat tetapi turut menjadi simbol cabaran kehidupan.

Dalam beberapa buah cerpennya, hutan menjadi metafora kepada ujian hidup, manakala kampung dan bandar mencerminkan perubahan sosial yang kompleks.

Abdullah Hussain memahami bahawa persekitaran fizikal mempengaruhi budaya dan identiti masyarakat sehingga menjadikan karya-karyanya lebih autentik dan relevan.

Secara keseluruhannya, Abdullah Hussain berjaya mengangkat karya-karyanya ke tahap karya kanun dan semestinya memperoleh gelaran Sasterawan Negara.

Beliau bukan sahaja seorang penulis kreatif tetapi juga pemikir yang mendokumentasikan realiti sosial, sejarah dan keagamaan dalam masyarakat yang tidak hanya melibatkan masyarakat Melayu tetapi juga menampilkan etnik yang lain.

Sesungguhnya, setiap karyanya mencerminkan suara zaman dan masih relevan untuk dibaca serta dikaji dalam konteks moden.

Melalui gabungan naratif sejarah, sosial, dan keagamaan, Abdullah Hussain membuktikan bahawa sastera bukan sekadar hiburan, tetapi juga satu bentuk perjuangan intelektual dan budaya yang harus dikekalkan agar terus hidup untuk pedoman masyarakat masa hadapan. 

BERITA LAIN

Berdamai dengan luka kehidupan

Tajuk: Catatan Hidup Seorang Perempuan yang Hampir Berputus Asa Penulis: Arlina Arshad Penerbit: IMAN Publication Jumlah halaman: 178 muka surat Catatan Hidup Seorang Perempuan yang

Bukan sekadar kisah cinta

Judul buku: Kita Cuma Kawan, Kan? Penulis: Auni Zainal Tahun terbit: 2024 Jumlah muka surat: 544 Harga: Rm34.00 Pengulas: Prisca Robin  Setebal 544 muka surat,

BERITA TERBARU