Buku Kumpulan Cerpen Santiago merupakan sebuah karya yang sarat dengan nilai kemanusiaan, konflik emosi serta pencarian makna kehidupan dalam realiti masyarakat kini.
Buku yang dihasilkan oleh Mahizan Husain ini menghimpunkan 17 cerpen yang masing-masing membawa naratif tersendiri, namun tetap terikat dengan tema besar tentang perjalanan hidup manusia yang penuh dengan cabaran.
Cerpen ini memperkenalkan pembaca kepada pelbagai watak yang datang daripada latar belakang yang berbeza. Setiap watak digambarkan berdepan dengan konflik tersendiri, iaitu sama ada berkaitan dengan tekanan hidup, hubungan kekeluargaan atau tentang pergolakan dalaman seseorang.
Walaupun jalan cerita setiap cerpen berbeza, namun kesemuanya mempunyai satu persamaan, iaitu usaha untuk mencari erti kehidupan dalam keadaan yang mencabar. Perkara ini menjadikan cerpen ini dekat dengan realiti pembaca kerana pengalaman yang dipaparkan bersifat universal dan mudah difahami.
Sebagai contoh, terdapat cerpen yang memaparkan watak yang bergelut dengan tekanan hidup sehingga ia menimbulkan konflik, pada masa yang sama memperlihatkan betapa rapuhnya emosi manusia apabila berdepan dengan realiti yang mencabar.
Dalam cerpen yang lain, hubungan kekeluargaan diketengahkan melalui konflik seorang lelaki yang memeluk Islam memikirkan bahawa ahli keluarga tidak menerimanya lalu membawa diri.
Tetapi pada akhirnya ia membawa kepada kesedaran tentang pentingnya komunikasi dan saling memahami. Pemilihan cerita seperti ini menunjukkan kepekaan penulis terhadap isu-isu yang dekat dengan kehidupan masyarakat. Dalam cerpen yang lain pula, penulis turut menonjolkan pertemuan yang tidak diduga sebagai titik perubahan dalam kehidupan. Hal ini menjadi pemangkin kepada perubahan pemikiran dan emosi.
Bukan itu sahaja, watak-watak yang terdapat dalam kumpulan cerpen ini juga menunjukkan perkembangan diri apabila berhadapan dengan cabaran yang memerlukan keberanian dan ketabahan.
Selain itu, dari sudut nilai, kumpulan cerpen ini banyak menekankan kepentingan ketabahan, keikhlasan serta keberanian dalam menghadapi cabaran hidup. Setiap watak sering kali digambarkan jatuh dan mengalami kegagalan, namun mereka tetap berusaha untuk bangkit semula.
Perkara ini memberikan satu mesej yang jelas bahawa kegagalan merupakan satu proses pembelajaran agar dapat menjadi individu yang lebih baik daripada masa lalu.
Unsur kekeluargaan dan hubungan sesama manusia turut menjadi kekuatan utama dalam karya ini. Walaupun
terdapat konflik dan perbezaan pendapat, hubungan ini tetap menjadi tempat kebergantungan yang penting dalam kehidupan watak- watak.
Dari segi bahasa pula, penulis menggunakan bahasa yang indah dan tersusun dan menjadikan kumpulan cerpen ini memiliki unsur puitis. Kumpulan cerpen ini juga menggunakan teknik penutup terbuka dan memberi peluang kepada pembaca untuk berfikir dan membuat tafsiran sendiri.
Namun, penggunaan yang terlalu kerap boleh menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pembaca yang mengharapkan penyelesaian yang lebih jelas terhadap konflik yang dipaparkan.
Secara keseluruhannya, Kumpulan Cerpen Santiago merupakan sebuah karya yang memberi kesan mendalam kepada pembaca kerana isu-isu yang diketengahkan dalam kumpulan cerpen adalah jarang diulas kerana sesetengah daripadanya dianggap sensitif oleh pembaca.
Sebagai pembaca, karya ini menimbulkan pelbagai persoalan dalam diri pengulas, terutamanya tentang sejauh mana benar-benar memahami diri sendiri dan bagaimana menghadapi cabaran dalam kehidupan.
Adakah pengulas mempunyai kekuatan untuk bangkit selepas kegagalan atau mudah berputus asa apabila berdepan dengan kesukaran?
Persoalan-persoalan ini menunjukkan bahawa karya ini berjaya menyentuh aspek dalaman pembaca dan mendorong mereka untuk berfikir secara lebih mendalam.
Harapan pengulas ialah agar karya ini dapat dibaca oleh lebih ramai golongan muda pada masa kini. Generasi muda perlu memahami bahawa kehidupan bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi merupakan satu perjalanan yang penuh dengan pelajaran dan pengalaman.



