MUKAH kaya dengan makanan khususnya makanan laut segar kerana lokasinya berdekatan laut.
Menjelang Ramadan, kita terfikir juadah untuk sahur dan berbuka.
Sudah tentu, bukan sahaja kuih-muih yang dijual oleh peniaga, malah banyak menu lain yang dijual oleh mereka.
Walaupun kebanyakan peniaga tidak menyediakan juadah untuk sahur, tetapi sambutan waktu berbuka sangat menggalakkan daripada pelanggan.
Di Mukah, Sinar Suria Bibi di Tebingan Sungai Mukah menyediakan Nasi Kak Wok sebagai menu berbuka.
Menurut pemilik gerai Noor Syarinawanti Yaman, 39, pada Ramadan, mereka berjualan di belakang kedai Sinar Suria Bibi kerana tidak menyediakan perkhidmatan dine-in.
“Pada hari biasa, memang kami akan menjual di depan kedai dan pada Ramadan kami beroperasi di belakang untuk memudahkan orang ramai membeli kerana lokasinya berhampiran dengan jalan.
“Kami mula beroperasi menjual menu berbuka 3 petang hingga 6.30 petang setiap Isnin hingga Sabtu.
“Tetapi untuk Nasi Kak Wok, dalam masa dua jam sudah laris dibeli orang ramai,” katanya kepada Suara Sarawak.
Walaupun tidak menjual di bazar Ramadan, Syarinawanti bersyukur Nasi Kak Woknya tetap menjadi pilihan berbuka penduduk sekitar Mukah.
“Dalam sehari, kami menyediakan 80 tapau Nasi Kak Wok dan menyediakan set tapau sendiri serta keluarga.
“Bagi set tapau sendiri berharga RM8, manakala set keluarga dalam tiga hingga lima orang berharga RM38,” ujarnya.
Seawal 8 pagi, Syarinawanti dan tiga pembantunya mula menyediakan bahan untuk penyediaan Nasi Kak Wok.
Pada jam 12 tengah hari mereka mula memasak menu tersebut.
“Nasi Kak Wok tersebut terdiri daripada ayam goreng cencang, timun, kuah gulai dan sambal.
“Resipi ini daripada keluarga saya sendiri kerana ia makanan kegemaran kami sekeluarga.
“Alhamdulillah, walaupun tidak belajar daripada mana-mana sumber, ia menepati cita rasa ramai,” katanya lagi.
Jelasnya, dia juga menyediakan perkhidmatan penghantaran kepada pembeli yang tidak dapat singgah di gerainya.
“Seperti tahun-tahun sebelum ini, ramai yang tidak dapat datang ke gerai kami disebabkan kekangan waktu bekerja dan sebab lain.
“Jadi, kami menyediakan perkhidmatan penghantaran untuk penduduk sekitar Mukah.
“Ada juga pembeli yang membuat pesanan melalui WhatsApps dan selepas waktu bekerja mereka mengambilnya,” jelasnya.
Sehubungan itu, selain Nasi Kak Wok, gerainya turut menjual pelbagai jenis minuman dan kuih-muih.
“Semua jenis minuman berharga RM6 dan air yang mendapat sambutan ialah air buang panas, ABC gula apong, asamboi limau, lemon laici selasih dan jus tembikai.
“Manakala kuih-muih pula, saya hanya menyediakan vendor kepada orang ramai dan mereka akan meletakkan kuih-muih mereka di sini,” katanya lagi.
Tambahnya, pada Ramadan kali ini, dia berharap ajualannya lebih dikenali ramai dan Nasi Kak Wok sentiasa menjadi pilihan utama untuk berbuka.




