ARTIKEL

Negatif lebih mudah tular

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Mengapakah kita lebih kerap mendengar perkara negatif berbanding perkara positif?

Dalam konteks pekerjaan, sering kali kita mendengar individu yang gagal memperoleh pekerjaan menyalahkan faktor “kabel”, iaitu penggunaan pengaruh orang dalam.

Namun begitu, amat jarang kita mendengar individu yang berjaya mendapatkan pekerjaan mengaitkan kejayaan mereka dengan faktor tersebut.

Sebaliknya, kebanyakan perkongsian di media sosial oleh mereka yang berjaya menekankan kepentingan persediaan diri, kemahiran dan sikap.

Fenomena yang sama turut dapat dilihat dalam isu pekerjaan kontrak. Individu yang kontraknya tidak disambung sering kali mengaitkannya dengan majikan yang zalim, menekan atau melakukan pelbagai salah laku.

Namun begitu, jarang sekali kita mendengar pengalaman daripada mereka yang telah lama bertahan dalam industri, termasuk kru pelantar minyak atau kru kapal yang berkhidmat selama puluhan tahun dalam persekitaran yang mencabar.

Sebenarnya, bukan tidak wujud berita positif, tetapi manusia secara semula jadi lebih tertarik kepada perkara negatif.

Dalam bidang psikologi, fenomena ini dikenali sebagai negativity bias, iaitu kecenderungan untuk memberi perhatian yang lebih kepada maklumat negatif berbanding maklumat positif.

Kajian dalam bidang neurosains menunjukkan otak manusia, khususnya bahagian yang dikenali sebagai amigdala (amygdala), memproses ancaman dengan lebih pantas dan intensif.

Maklumat yang bersifat ancaman sering dikaitkan dengan tindak balas fisiologi seperti peningkatan hormon adrenalin dan kortisol, yang seterusnya menjadikan individu lebih responsif terhadap situasi tersebut.

Sebagai analogi, bayangkan kita berada di dalam hutan. Reaksi kita terhadap kicauan burung yang menenangkan berbeza sama sekali daripada reaksi terhadap ngauman harimau yang mengancam.

Situasi yang bersifat ancaman akan menjadikan kita lebih bersedia untuk bertindak (fight or flight) serta lebih mudah diingati dan dikongsi semula.

Dalam konteks moden, perkara yang sama berlaku. Naratif seperti “tidak mendapat pekerjaan kerana tiada kabel” lebih menarik perhatian berbanding kisah “berjaya mendapat pekerjaan hasil persediaan rapi sebelum temu duga”.

Begitu juga, cerita tentang “majikan zalim yang memberi gaji rendah” lebih mudah mendapat perhatian berbanding pengalaman individu yang bermula dengan gaji rendah tetapi berjaya meningkatkan pendapatan melalui prestasi dan usaha berterusan.

Apabila emosi lebih terkesan, tidak hairanlah berita yang bersifat negatif atau mengancam lebih cenderung untuk dikongsi secara meluas.

Hal ini menjelaskan mengapa kandungan negatif lebih menonjol dalam era penggunaan media sosial yang pesat.

Bagi mengatasi kecenderungan negativity bias ini, salah satu pendekatan yang boleh diambil ialah mempelbagaikan sumber maklumat.

Individu disarankan agar tidak hanya membaca atau mempercayai maklumat yang selari dengan pandangan sendiri, sebaliknya turut meneliti perspektif yang berbeza. Pendekatan ini membantu membentuk pemikiran yang lebih seimbang dan objektif.

Bagi umat Islam, pendekatan ini seharusnya lebih mudah diamalkan. Keimanan terhadap qada’ dan qadar menuntut kita untuk berusaha sebaik mungkin, di samping menerima bahawa hasil yang diperoleh merupakan ketentuan Allah.

Oleh itu, tidak wajar untuk menyalahkan pihak lain atau sekadar mencari alasan. Sebaliknya, fokus perlu diberikan kepada usaha memperbaiki diri dan terus berikhtiar.

BERITA LAIN

PENTAS SI CILIK serlah potensi diri

Pertandingan Putra Putri Cilik 2026 Edisi Karlas menjadi medan mencungkil bakat kanak-kanak dan remaja, di samping membina keyakinan diri, memupuk keberanian serta menyemai nilai keprihatinan

Tiga kursus buka perspektif baharu

PADA 6 dan 7 Oktober lalu, saya menghadiri kursus AI for Admin, HR & Secretaries di sebuah hotel di pusat bandar raya Kuching. Kursus selama

BERITA TERBARU