Nenek dakwa dirogol lima kali

SIBU: Diperkosa lima kali, seorang nenek berusia 55 tahun nekad membuat laporan polis selepas lelaki warga emas berusia 63 tahun mengugut untuk membunuhnya.

Kejadian perkosaan terbaharu berlaku pada 2 Ogos di sebuah rumah sewa di sini dan suspek dipercayai menyewa bilik berdekatan mangsa.

Berdasarkan laporan dibuat kepada polis, kejadian berlaku jam 8 pagi apabila mangsa tiba-tiba ditarik suspek ketika mandi serta ditutup mulut sebelum dipaksa masuk ke dalam bilik suspek.

Suspek menolak mangsa ke atas tilam dan terus memperkosanya.

Difahamkan suspek merupakan seorang pengawal keselamatan dan berasal dari Kanowit masa kejadian dipercayai berada dalam pengaruh alkohol.

Tragiknya, mangsa mendakwa pernah dirogol suspek beberapa kali sebelum ini.

Dalam siri perkosaan sebelum ini, mangsa mendakwa badan suspek besar dan tiada tenaga untuk melawan.

Bagaimanapun, pertama kali diperkosa mangsa mendakwa menerima RM30 tetapi suspek enggan memberi wang lagi dalam siri perkosaan seterusnya.

Mangsa cuba meminta wang dalam kejadian rogol pada 2 Ogos lalu namun suspek mengugut untuk membunuhnya.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit ketika dihubungi semalam memberitahu suspek ditahan selepas satu laporan dibuat mangsa pada Jumaat lalu.

“Suspek telah ditangkap sejurus berdasarkan maklumat yang diberikan mangsa.

“Suspek kini direman bermula Jumaat sehingga 9 Ogos ini untuk siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol,” tambahnya yang enggan mengulas lanjut.