KUCHING: Kawasan Ngemah berpotensi dibangunkan sebagai antara pengeluar beras khas bernilai tinggi menerusi penanaman padi huma tradisional dan padi sawah.
ADUN Ngemah, Anyi Jana berkata, potensi itu selari dengan penubuhan Lembaga Padi dan Beras Sarawak 2026 yang bertujuan memperkukuh keselamatan makanan negeri.
“Ngemah, Kanowit tidak tersenarai secara khusus dalam kawasan fokus utama penanaman padi berskala besar yang diumumkan oleh Kerajaan Sarawak, yang lebih tertumpu kepada kawasan seperti Tanjung Bijat, Stumbin, Lingga, Gedong, Spaoh dan Limbang.
“Ngemah masih mempunyai potensi yang signifikan untuk dibangunkan dalam sektor padi, khususnya melalui penanaman padi tradisional serta pengeluaran beras berkualiti tinggi atau beras khas yang mempunyai nilai pasaran yang baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan RUU Lembaga Padi dan Beras Sarawak 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Menurutnya, berdasarkan keadaan setempat di Ngemah, pertanian padi yang dijalankan oleh komuniti tempatan berbentuk campuran seperti padi bukit atau padi huma tradisional dan padi sawah.
Katanya, kepelbagaian varieti itu bukan sahaja mencerminkan kekayaan agrobiodiversiti Sarawak, malah berpotensi untuk terus dibangunkan sebagai sumber makanan berkualiti dan produk beras bernilai tinggi pada masa hadapan.


