SEMALAM ramai ibu bapa yang melontar pendapat berbeza mengenai surat pekeliling Pelaksanaan Minggu Solidariti Palestin di Institut Pendidikan Bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.
Rata-rata ibu bapa berpendapat, solidariti itu tidak wajar dilaksana di sekolah melibatkan murid rendah dan pelajar menengah.
Beberapa pelajar pula mendakwa, solidariti itu cuma melibatkan pelajar Islam sedangkan pekeliling KPM menyebut – pelaksanaan program bertemakan keamanan dan kemanusiaan tanpa melibatkan unsur bersifat agresif dan ekstrem yang fokus kepada isu dan memperdengarkan lagu bersesuaian dengan kemanusiaan Palestin.
Saya tanya kepada kawan-kawan, apakah mereka salah dengar arahan, mungkin anak mereka salah kerana berdasarkan kenyataan akhbar KPM, ia langsung tidak menyatakan khas untuk pelajar Islam.
Salah faham sebegini memberi penerimaan negatif yang sangat besar seolah-olah kita membenarkan pelajar sekolah terlibat dalam isu agama yang esktrem.
Namun bagi saya secara peribadi – perjuangan ke atas Palestin tidak perlu memerlukan kita sebagai Muslim semata-mata, cukup menjadi manusia yang punya hati nurani.
Ramai yang salah faham, ramai yang menganggap arahan KPM seperti terkandung unsur keagamaan.
Sebenarnya kita harus memahaminya secara menyeluruh bahawa program itu boleh mendidik anak-anak kita mengenai perikemanusiaan dan kemanusiaan sebenar.
Sahabat daripada pendidikan sendiri pun tidak dapat mengelak arahan itu namun mengambilnya dari sudut positif bahawa nilai moral wajar dipupuk daripada bangku sekolah.
Bagi saya, cuma dalam konteks Sarawak, makna solidariti Palestin harus diperincikan kerana negeri ini dihuni pelbagai bangsa dan agama.
Mungkin ada kawan-kawan yang kurang faham akan menerimanya secara negatif.
Saya, kita atau anda yang lebih memahami isu ini menerima khabar daripada anakanak pulang dari sekolah dengan hati terbuka bahawa ia program kemanusiaan.
Program itu sebenarnya memupuk budaya toleransi, kebersamaan, kekitaan dalam diri pelajar termasuk untuk tidak mudah dipengaruhi oleh budaya, amalan dan perkara yang berbentuk keganasan.
Pada masa yang sama juga, ia dapat mewujudkan keharmonian di persekitaran khususnya sekolah yang mempunyai pelbagai kaum.
Tetapi ada suri rumah mungkin kurang memahami seperti dua tiga orang kawan saya yang bertanya – perlukah murid sekolah disuruh dalam memikirkan perang antarabangsa, perang agama?
Kita yang faham harus memahamkan mereka lagi, bahawa ia bukan tertumpu kepada isu agama antara Palestin dengan Israel.
Isu Palestin-Israel ini melangkaui isi keagamaan kerana ia merupakan isu kemanusiaan sejagat yang mempersoalkan tentang hak asasi kemanusiaan.
Di sini peranan pengamal media dalam menulis isu ini.
Peranan pengamal media sebagai sumber maklumat penting untuk orang ramai yang dapat meningkatkan kesedaran, pemahaman dan memberi penerangan tentang pelanggaran hak asasi manusia, jenayah perang dan pelanggaran undang-undang antarabangsa.
Kita tidak harus membaca isu ini dari satu sudut pencerobohan kejam, pemindahan tempat tinggal sahaja tetapi juga kesan konflik ke atas kehidupan seharian penduduk di sana dan keperluan untuk memberikan bantuan kemanusiaan dari pelosok dunia.
Jadi, jangan mengambil negatif dengan memesong solidariti dengan pemahaman yang salah terutamanya berkaitan agama Islam.
Justeru, jika ia dilaksanakan di peringkat sekolah, biar ia jelas tujuannya kerana bimbang ramai yang salah faham terutamanya bagi negeri yang dihuni masyarakat majmuk.
KPM telah menjelaskan pelaksanaan program bertemakan keamanan dan kemanusiaan tanpa melibatkan unsur yang bersifat agresif dan ekstrem.
Salah faham itu boleh menimbulkan provokasi dan menggugat keharmonian serta kesejahteraan guru dan pelajar sekolah pelbagai latar belakang agama.
Semalam Ikatan GuruGuru Muslim Malaysia (iGuru) menyangkal sekeras-kerasnya dakwaan pertubuhan bukan kerajaan Global Human Rights Federation bahawa pelaksanaan Minggu Solidariti Palestin mengheret murid dalam konflik antarabangsa di sekolah.
Banyak NGO semalam, menteri atau orang perseorangan yang berasa ia kurang sesuai dilaksanakan di Sabah dan Sarawak kerana latar belakang kaum dan agama di negeri kepulauan Borneo itu.
Namun semalam juga, Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying ketika dialog dengan ahli parlimen dari Sarawak di sidang parlimen mengesahkan ia tidak wajib dilaksanakan di sekolah-sekolah di Sarawak.
Sudah pasti pengesahan itu diharap tidak membebankan pengurusan sekolah untuk mewajibkan program berkenaan.
Menyentuh isu ini, saya tertonton tanpa sengaja video seorang kanakkanak yang mengorek timbunan runtuhan mencari mayat keduadua orang tua selepas kediaman Palestin dibom Israel.
Ia sangat menyedihkan! Setakat semalam pada ke-20 perang Hamas itu, korban rakyat Palestin sudah hampir mencecah angka 6,000 orang sementara yang tercedera lebih 16,000 orang.
Manakala Israel sekurang-kurangnya kehilangan 1,400 nyawa dan bilangan yang tercedera sekitar 5,000 orang.
Rakyat Palestin yang terkorban kebanyakan orang awam, wanita dan kanak-kanak.
Rakyat berbeza agama dan latar belakang sosial dari semua sudut dunia turut menangis dengan isu ini.
Percayalah selagi bergelar manusia, semua mengidamkan kebebasan.
Jangan anggap ia cuma isu antara Palestin dengan Israel hanya isu perang semata-mata.
Ia isu kemanusiaan puluhan tahun rakyat Palestin dinafikan hak mereka.
Kita akan terus bersuara dan bersatu padu menyokong hak asasi serta melahirkan solidariti mereka kepada rakyat Palestin.
Apakah yang dapat rakyat Malaysia pelajari daripada konflik ini? Ya sudah tentu n ikmat kebebasan.
Tatkala saudara kita berhadapan dengan ancaman dan kekejaman yang meragut nyawa, kita masih dikurniakan nikmat keselesaan menjalani kehidupan.
Justeru, anak-anak muda, bersyukur kerana anda menjadi salah seorang rakyat Malaysia yang bebas.
Kita bebas untuk ke mana-mana, kemudahan asas cukup, tidak kebuluran malah punya kebebasan membuat keputusan apa-apa pun!
Tiada apa yang perlu dipersoalkan rakyat Malaysia maka, jadilah manusia yang bersyukur kerana masih boleh bermimpi indah untuk esok hari dan hari-hari seterusnya.



