KUCHING: Nilai Program Jualan Agro Sarawakku Sayang (JASS) di Sarawak yang mencecah RM500,000 sejak pelaksanaannya bermula pada April 2026 membuktikan ia membantu rakyat mendapatkan barang makanan pada harga berpatutan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, program itu kini memasuki destinasi ke-17 di Esplanad Kampung Gersik, Boyan.
“Penganjuran JASS di Esplanad Kampung Gersik menawarkan jumlah produk makanan pada harga lebih rendah dengan penjimatan sehingga 30 peratus bagi produk terpilih.

“Justeru, JASS adalah antara usaha yang dilakukan oleh Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Sarawak untuk membantu rakyat, terutama apabila berlaku kenaikan harga barang di sesetengah tempat.
“Selain itu, penganjuran program ini turut memastikan ekonomi keluarga tidak terjejas akibat kenaikan tersebut,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program JASS di Esplanad Kampung Gersik, Boyan, di sini, hari ini.
Menurutnya, antara produk yang ditawarkan termasuk kombo JASS dengan pelbagai produk keperluan pada harga RM15 berbanding harga biasa RM20, telur ayam RM13 sepapan dan ayam segar RM10 seekor.
“Selain itu, daging segar tempatan RM50 sekilogram berbanding RM65 sekilogram serta daging puyuh RM20 berbanding harga asal RM28.
“Oleh itu, kita dapat melihat ramai penduduk kampung datang awal untuk mengambil peluang membeli bahan makanan yang disediakan,” jelasnya.

Beliau menambah, program berkenaan dilaksanakan secara berterusan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bersama Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD), Jabatan Pertanian Sarawak serta agensi berkaitan.
“Usaha ini bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk bandar, malah turut meliputi masyarakat luar bandar dan pedalaman di seluruh Sarawak,” tegasnya.
Mengulas lanjut, katanya, JASS akan terus dilaksanakan oleh FAMA dan M-FICORD sepanjang tahun ini di seluruh Sarawak, dengan kira-kira 23 destinasi lagi sebelum mencapai keseluruhan 40 destinasi menjelang hujung tahun.
“Seramai 150 usahawan telah terlibat dalam Program JASS setakat ini,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa JASS di Esplanad Gersik telah dimulakan seawal jam 7 pagi dengan aktiviti senamrobik melibatkan penduduk kampung yang dianjurkan bersama DBKU.
Sementara itu, Pengarah FAMA Sarawak, Norsalawaty Abdul Kadir berkata, JASS merupakan inisiatif kerajaan negeri bagi membantu rakyat mendapatkan keperluan barangan, terutama menjelang musim perayaan Gawai Dayak dan Hari Raya Aidiladha.
“Dengan harga yang lebih murah, kita mampu mengurangkan beban rakyat Sarawak melalui program seperti ini,” katanya.
Menurutnya, seramai 15 usahawan sekitar Kuching termasuk dari Kampung Gersik terlibat dalam program itu, dengan sebahagian produk seperti makanan dan nanas dibawa terus dari kawasan setempat.
“Justeru, usaha ini dapat membantu mengurangkan harga kepada pengguna,” ujarnya.



