ARTIKEL

Nilai kebaikan untuk keluarga

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

NOVEL kanak-kanak setebal 161 halaman ini bukan sekadar bercerita tentang kehidupan serta imaginasi kanak-kanak. Pembaca juga mendapat manfaat dan pengajaran khususnya kepada kanakkanak serta dewasa.

Banyak pengajaran serta panduan diselitkan dalam novel berharga ini.

Penulis (Syalina Ahmad dan Nazry Salam) menghasilkan novel ini dengan menggunakan bahasa yang mudah dan dapat difahami oleh kanak-kanak. Misalnya, imaginasi tentang pedati ajaib yang diterbangkan oleh kerbau.

Bagi orang dewasa, ia sangat tidak masuk akal, tetapi bagi kanak-kanak, imaginasi mereka dapat menggambarkan situasi sedemikian.

Pedati ini disediakan oleh Puteri Zayna, seorang puteri remaja yang diberikan amanah untuk menganjurkan sebuah pesta di negara Widili.

Ada empat buah pedati diceritakan yang dapat membawa ratusan kanak-kanak yang berasal dari Widili.

Untuk pusingan pertama, pedati ini tidak dibenarkan membawa kanak-kanak dari negara lain.

Mengapa?

Sebab, pusingan ini bertujuan untuk mengubah pemikiran serta sikap kanak-kanak di Widili yang akan menjadi pewaris masa depan negara berkenaan.

Sebelum bermulanya pesta, Puteri Zayna diberikan penerangan oleh wakil raja negara Widili tentang kanakkanak serta remaja di Widili yang tidak mahu belajar, enggan untuk ke sekolah dan hanya fokus bermain.

Penulis menceritakan pada halaman 26, bagi rakyat Widili pula berbeza situasinya.

Pada mereka, tiada guna mereka berusaha mencari ilmu.

Mereka sudah cukup bahagia di Widili. Hidup mereka senang sepanjang masa.

Di Widili tiada satu pun keluarga miskin.

Namun demikian, kanakkanak di Widili semakin leka, semakin malas untuk ke sekolah yang menyebabkan ibu bapa runsing memikirkan perkara sedemikian.

Putera Zayed (putera Raja Abbas) turut bersikap demikian. Raja Abbas (pemerintah Widili) sangat bimbang Putera Zayed akan mempengaruhi kanakkanak yang lain. Raja Abbas bimbang akan masa hadapan mereka.

Bagaimanakah nasib rakyat di Widili selepas baginda mangkat?

Bagaimanakah pula dengan Putera Zayed? Mampukah Putera Zayed memerintah Widili dengan baik suatu hari kelak?

Atas sebab itu, perlu diadakan sebuah pesta yang disertakan dengan pengajaran. Puteri Zayna salah seorang yang mencuba nasib untuk menjadi penganjur utama.

Walaupun sebagai puteri Raja Zahir (pemerintah negara Galimunan), Puteri Zayna tetap perlu melalui proses pemilihan.

Puteri Zayna tidak mahu menggunakan kedudukannya sebagai puteri untuk dipilih secara automatik.

Menariknya, pemilihan kali ini berbeza berbanding sebelumnya.

Pemilihan awal dilakukan oleh orang dewasa dengan peserta (30 orang) dihadkan masa selama 15 hingga 20 minit.

Puteri Zayna berjaya lolos ke pusingan seterusnya. Antara tiga orang peserta, perlu dipilih seorang peserta sebagai penganjur.

Menariknya lagi, sesi pemilihan terakhir dikendalikan oleh kanakkanak.

Ketuanya bukan Putera Zayed (anak raja), tetapi kanak-kanak biasa, iaitu kawan kepada Putera Zayed.

Mereka tertarik dengan pembentangan Putera Zayna yang tidak diketahui identiti sebagai puteri raja.

Semasa pesta, kanakkanak yang menaiki pedati dibawa ke tiga buah rumah yang mempunyai pengajaran tersendiri.

Di rumah pertama, kanak-kanak diajar tentang nilai kesabaran.

Ujian berikutnya di rumah kedua menguji keyakinan dan kesabaran kanak-kanak negara Widili yang lalai dengan kehidupan.

Seperti kata Puteri Zayna: “Itulah tujuan beta membawa awak semua ke rumah kedua yang menempatkan Taman Flora ini.

Awak dapat menguji keyakinan dan keberanian diri awal sendiri.

Lihatlah bagaimana awak berasa ragu dan tidak yakin pada mulanya.

Namun atas dasar kepercayaan, awak mula meyakini kata-kata Putera Zayed dan mempercayai antara satu sama lain.”

Di rumah ketiga, kanakkanak negara Widili diajar tentang menghargai pengorbanan dan menghormati ibu bapa.

Ini melalui penceritaan tentang kepayahan ibu bapa kesemua kanak-kanak ketika masih kecil, remaja dan dewasa yang perlu bekerja keras membesarkan mereka.

Di rumah ketiga juga, Puteri Zayna turut diuji apabila dia dapat memandang seorang wanita yang seakanakan dikenalinya.

Rupa-rupanya wanita itu ialah ibunya yang juga berasal dari Widili.

Ini menimbulkan kegelisahan dalam hati Puteri Zayna sehingga mendengar penjelasan daripada ayahandanya.

Buku ini mengajar kita banyak perkara.

Antaranya, pemerintah yang baik sentiasa bimbang dengan masa depan rakyatnya terutama generasi muda.

Selain itu, kanak-kanak atau remaja (Puteri Zayna) jika dididik dengan baik mampu membuat sesuatu yang baik untuk negara.

Jadi, buku ini wajar menjadi bahan bacaan seisi keluarga.

Nilai baik serta pengajaran yang diketengahkan boleh menjadi amalan berguna kerana mempunyai hubung kait dan sisi kebaikan pada sesebuah keluarga.

BERITA LAIN

Berdamai dengan luka kehidupan

Tajuk: Catatan Hidup Seorang Perempuan yang Hampir Berputus Asa Penulis: Arlina Arshad Penerbit: IMAN Publication Jumlah halaman: 178 muka surat Catatan Hidup Seorang Perempuan yang

Bukan sekadar kisah cinta

Judul buku: Kita Cuma Kawan, Kan? Penulis: Auni Zainal Tahun terbit: 2024 Jumlah muka surat: 544 Harga: Rm34.00 Pengulas: Prisca Robin  Setebal 544 muka surat,

BERITA TERBARU