ARTIKEL

Nilai tersendiri setiap budaya, warisan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

CERPEN Indahnya Berkain Sarung Batik merupakan hasil karya Nur Assyifa Alias, seorang penulis muda yang berbakat besar dan dimuatkan dalam antologi Minggu Penulis Kanak-kanak 2020, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Walaupun masih dalam usia muda, penulis ini menunjukkan kematangan yang begitu luar biasa dalam penyampaian idea serta pilihan temanya yang unik dan bernas.

Dalam karya ini, penulis memilih untuk mengetengahkan tema berkaitan kecintaan terhadap budaya, khususnya pakaian tradisional, iaitu kain sarung batik, antara elemen budaya yang sering dipandang remeh oleh generasi muda masa kini.

Cerita ini mengisahkan seorang kanak-kanak perempuan yang sangat meminati pemakaian kain sarung batik, biarpun kecenderungannya itu sering menjadi bahan ejekan rakanrakan sebayanya.

Sikap mereka yang mempersendakan kain tersebut menggambarkan realiti masyarakat yang semakin menjauh daripada akar budaya sendiri. 

SINDIRAN

Namun begitu, tokoh utama cerpen ini tetap tabah dan tidak mudah terpengaruh.

Sindiran yang diterima seolaholah tidak memberi kesan, malah dia kekal berpegang teguh kepada pilihan dan identitinya sendiri.

Hal ini menunjukkan satu bentuk keteguhan prinsip yang tinggi, sekali gus memberi teladan baik kepada pembaca muda agar berani mempertahankan apa-apa yang mereka yakini.

Perkara yang lebih istimewa dalam cerpen ini adaalah keupayaan penulis mengangkat kain sarung batik bukan sekadar sebagai sehelai pakaian tradisional, tetapi sebagai simbol jati diri, penghargaan terhadap warisan nenek moyang serta lambang penerimaan diri.

Cerpen ini menyampaikan mesej bahawa setiap budaya mempunyai nilai tersendiri dan tidak wajar diketepikan hanya kerana pengaruh moden yang semakin meluas.

Penulis seolah-olah menyeru generasi muda untuk tidak malu mengangkat budaya sendiri dan berani menonjolkan keunikan identiti mereka.

Dari sudut gaya penulisan pula, cerpen ini ditulis dalam bahasa yang mudah difahami tetapi kaya dengan mesej tersirat.

Struktur ayat yang ringkas dan penceritaan yang mengalir lancar menjadikannya sesuai untuk khalayak sasaran seperti kanak-kanak dan remaja.

Pada masa yang sama, ia tidak mengabaikan elemen emosi dan nilai moral yang mampu menyentuh hati pembaca.

Cerpen ini juga sesuai dijadikan bahan sokongan dalam bidang pendidikan kerana mampu menyemai semangat cinta akan budaya tempatan dalam diri pelajar.

Ia boleh digunakan dalam kelas untuk membincangkan topik berkaitan dengan warisan budaya, jati diri serta nilai-nilai murni seperti berani, yakin diri dan hormat terhadap sejarah.

Guru boleh menjadikan cerpen ini sebagai asas perbincangan bagi membuka minda pelajar terhadap pentingnya memelihara identiti bangsa.

Secara keseluruhan, cerpen Indahnya Berkain Sarung Batik ini merupakan sebuah karya yang bukan sahaja menyerlah dari aspek penceritaan, malah menyampaikan mesej yang penting dan relevan dalam konteks masyarakat hari ini.

Nur Assyifa Alias telah membuktikan bahawa usia muda bukanlah penghalang untuk menghasilkan karya yang berkualiti serta menyumbang kepada pembangunan sastera kanak-kanak tanah air.

Cerpen ini wajar diberi pujian dan lebih banyak pendedahan supaya mesejnya dapat dinikmati dan dihayati oleh lebih ramai pembaca muda. 

BERITA LAIN

Berdamai dengan luka kehidupan

Tajuk: Catatan Hidup Seorang Perempuan yang Hampir Berputus Asa Penulis: Arlina Arshad Penerbit: IMAN Publication Jumlah halaman: 178 muka surat Catatan Hidup Seorang Perempuan yang

Bukan sekadar kisah cinta

Judul buku: Kita Cuma Kawan, Kan? Penulis: Auni Zainal Tahun terbit: 2024 Jumlah muka surat: 544 Harga: Rm34.00 Pengulas: Prisca Robin  Setebal 544 muka surat,

BERITA TERBARU