PENYANYI veteran Sarawak, Safar Gafar, 68, berkongsi nostalgia kemeriahan hari raya di Kampung Boyan, Kuching suatu ketika dahulu yang sentiasa dirindui walaupun ketika itu belum wujud teknologi digital dan gajet.
Menetap di Taman Sukma, beliau yang kini aktif sebagai aktivis seni mengimbau kembali suasana Aidilfitri yang penuh cahaya dan kasih sayang di Kampung Boyan, perkampungan tradisi di Kuching, yang cukup dekat di hatinya.

Baginya, kemeriahan Aidilfitri suatu ketika dahulu tidak memerlukan telefon pintar atau media sosial, sebaliknya cukup dengan tawa kanak-kanak, cahaya pelita yang menyala dan kunjungan mesra jiran tetangga.
Menurut Safar, suasana malam menjelang Ramadan dan Syawal di kampungnya dahulu bagaikan pesta cahaya.
Kanakkanak dan remaja akan masuk ke dalam hutan mencari kayu untuk dijadikan pelita sebelum dipasang berderet di sepanjang jalan kampung.
Setiap rumah berlumba-lumba menghias halaman dengan cahaya pelita yang berkelipan indah.
“Masa itu kami tidak mempunyai elektrik yang terang seperti sekarang, tetapi cahaya pelita itulah yang menyatukan kami.
“Apabila malam tiba, seluruh Kampung Boyan bercahaya, seolah-olah syurga kecil di dunia.
Sehingga kini saya masih boleh membayangkan betapa indahnya suasana itu,” katanya ketika ditemu bual oleh Suara Sarawak di Hotel Samudera baru-baru ini.
Beliau turut mengimbau tradisi “Raya berebut” yang menjadi budaya masyarakat setempat.
Persiapan dilakukan lebih awal, termasuk membersihkan rumah, mengecat dinding dan menyediakan juadah tradisional.
Kanak-kanak membantu ibu bapa mengemas rumah dan sebagai ganjaran, mereka akan menerima duit raya lebih awal.
“Kami diajar kebersihan itu tanda menghormati tetamu.
Apabila rumah bersih dan tersusun, hati pun rasa lapang untuk menyambut Syawal,” ujarnya.
Safar turut berkongsi tentang tradisi “palak meja”, iaitu susunan kuih tradisional yang dihias indah di tengah meja ruang tamu.

Dahulu, palak meja dihias oleh gadis-gadis muda dengan penuh kreativiti sehingga menjadi kebanggaan sesebuah keluarga.
Kuih-muih disusun membentuk corak yang menarik, malah ada yang menyerupai masjid.
“Orang dulu-dulu percaya palak meja ini bukan sekadar hiasan. Ia lambang seni dan maruah keluarga.
Ada juga yang mengatakan bahawa jika cantik susunannya, ia boleh menjadi perantara bertemu jodoh,” katanya sambil tersenyum.
Kini, tradisi itu banyak digantikan oleh kek lapis Sarawak yang berwarna-warni, namun maknanya sebagai simbol kemeriahan tetap utuh.
Dalam soal perubahan zaman, Safar mengakui teknologi memberikan banyak kemudahan, namun pada masa yang sama sedikit sebanyak mengubah suasana Aidilfitri.
Jika dahulu Aidilfitri menjadi masa untuk berbual panjang dan berkenalan dengan saudara-mara, kini ada yang lebih sibuk dengan telefon bimbit masing-masing.
“Saya tidak menolak teknologi, tetapi jangan sampai kita lupa memperkenalkan anak-anak kepada sepupu dan saudara-mara.
Hari raya sepatutnya menjadi masa untuk merapatkan hubungan, bukan menjauhkan,” tegasnya.
Pada pagi Aidilfitri, selepas solat sunat Aidilfitri, beliau dan keluarga akan menziarahi pusara ahli keluarga sebelum pulang untuk bersalaman dan bermaafan.
Tradisi menziarahi saudara-mara yang lebih tua terlebih dahulu masih menjadi keutamaan.
Rumah terbuka pula boleh berlangsung sehingga tujuh hari tujuh malam, malah ada yang menyambut sehingga sebulan.
Bagi Safar, selagi ibu bapa masih ada, pulanglah ke kampung untuk memohon maaf dan meluangkan masa bersamasama mereka.
Katanya, kenangan hari raya bersama-sama keluarga merupakan warisan emosi yang tidak ternilai dan wajar dipelihara agar terus hidup dalam jiwa generasi akan datang.
Mengulas perkembangan terkini dalam dunia seni, Safar meluahkan rasa syukur kerana gerakan seni yang diterajuinya kini semakin memberangsangkan.
Pasukan tersebut memiliki barisan penulis skrip, penyanyi dan penggiat seni yang komited mengangkat budaya tempatan.
Terbaharu, pasukan tersebut berjaya menyiapkan sebuah rancangan televisyen khas Aidilfitri yang akan disiarkan pada hari pertama Syawal menerusi TVS.
Program berdurasi sejam bertajuk Hari Raya Bersama TVS itu memaparkan keindahan sambutan Aidilfitri di Sarawak dengan persembahan artis dari negeri ini dan Semenanjung Malaysia.
“Kami bukan sekadar mahu menghiburkan penonton, tetapi mahu menunjukkan hari raya di Sarawak sangat unik kerana diraikan bersama-sama pelbagai kaum seperti Melayu, Iban, Bidayuh dan Orang Ulu.
“Semangat saling mengunjungi itu masih kuat dan menjadi identiti kita,” jelasnya.
Bagi menjayakan program tersebut, mereka turut menghasilkan dua lagu hari raya dengan lirik bertemakan Aidilfitri sebagai simbol perpaduan dan kegembiraan.
Pengalaman manis mewakili Malaysia selepas menjuarai pertandingan Bintang RTM Sarawak (ACM) pada 1983 turut menjadi kebanggaan Safar.
Beliau pernah membuat persembahan di Itali dan Syria sebagai wakil Sarawak dan Malaysia dalam bidang seni dan pelancongan.
Kerjayanya bermula sebagai penari sebelum melangkah ke bidang nyanyian dan menerima beberapa anugerah termasuk Bintang Sarawak serta anugerah khas seni.
“Saya bermula dari bawah sebagai penari. Seni itu darah daging saya. Apabila dapat mewakili negara, saya rasa bangga membawa nama Sarawak ke pentas dunia,” katanya.



