ARTIKEL

NUANSAR juara FKS 2025

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

UANSAR Dance Troupe mencipta sejarah baharu dalam arena seni budaya Sarawak apabila dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan Festival Kesenian Sarawak (FKS) 2025.

Kemenangan ini hasil daripada persembahan mantap mereka melalui karya tarian bertajuk Negeri Yang Hilang, yang memukau juri dan penonton, sekali gus menegaskan dominasi kumpulan berpangkalan di Sarawak itu dalam bidang tarian etnik kreatif.

Lebih membanggakan lagi, kemenangan Nuansar Dance Troupe pada edisi 2025 dianggap lebih manis apabila dibandingkan dengan pencapaian mereka pada FKS 2024 yang hanya meraih naib johan.

Tahun ini, kumpulan tersebut muncul dengan keyakinan lebih tinggi, mutu persembahan yang jauh lebih matang, serta penyampaian yang sarat nilai estetika dan identiti tempatan.

Secara tidak langsung, transformasi ini membuktikan bahawa dedikasi, latihan tanpa henti dan semangat bangga sebagai anak Sarawak mampu menghasilkan karya seni bertaraf tinggi.

Karya Negeri Yang Hilang dalam kategori Etnik Kreatif menampilkan interpretasi bebas mengenai legenda kewujudan negeri purba di Santubong.

Legenda ini, menurut sejarah lisan masyarakat Sarawak, menceritakan tentang negeri yang wujud suatu ketika dahulu tetapi hilang dalam lipatan sejarah.

Ketika ditemui Suara Sarawak, Jurulatih Nuansar Dance Troupe, Dennis Tygang berkata, karya ini dibangunkan bukan sekadar untuk menghibur, tetapi sebagai medium memperkenalkan semula cerita-cerita sejarah tempatan kepada generasi muda.

“Melalui persembahan yang memadukan elemen tradisional dengan alunan kontemporari, kami (Nuansar Dance Troupe) mengekalkan roh budaya Sarawak sambil menjadikannya relevan dalam konteks pementasan moden.

“Muzik etnik yang digunakan turut disusun secara teliti bagi mengekalkan keaslian warisan, sambil memberi impak dramatik yang mendalam kepada penonton, bahkan juri,” katanya.

Merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menyokong perjalanan seni mereka sejak tahun lalu, Dennis berkata, kejayaan ini bukan sahaja milik pasukan, tetapi hasil daripada sokongan padu keluarga, rakan seni, guru-guru tari, serta semua pihak yang percaya pada potensi Nuansar Dance Troupe.

“Daripada naib johan pada 2024 dan kini johan keseluruhan melalui karya Negeri Yang Hilang. Bagi saya sendiri, kemenangan ini adalah pencapaian yang paling membanggakan.

“Bayangkan semasa kali pertama kami menyertai pertandingan, yang tidak dikenali ramai orang dan kini, saya mampu ucap puji dan syukur, Nuansar Dance Troupe sudah dikenali umum.

“Saya akui, bahkan semua kami (pasukan) percaya bahawa ini bukanlah perjalanan yang mudah, namun ini adalah hasil titik peluh dan kerja keras semua ahli pasukan,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Dennis berharap kemenangan dan pementasan karya kreatif ini terus memberi inspirasi kepada kumpulan-kumpulan baharu untuk terus berkarya, meneroka kreativiti berasaskan identiti tempatan dan mengekalkan warisan budaya agar terus relevan dalam era moden.

“Inilah peranan kita sebagai pengkarya, untuk menghidupkan semula seni tari tradisional supaya terus releven, bak kata pepatah, tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas,” tambah Dennis.

Dalam pada itu, mereka juga menegaskan komitmen untuk terus menghasilkan karya berasaskan sejarah dan budaya negeri, dengan harapan dapat dipersembahkan di pentas lebih besar di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Tidak dinafi kan juga, faktor kejayaan Nuansar Dance Troupe turut dipengaruhi oleh persiapan rapi dan kepelbagaian elemen persembahan.

Jelas Dennis, dari segi teknikal, tarian mereka memerlukan koordinasi tinggi antara penari, pengurusan muzik yang tepat dengan penggunaan kostum yang bukan sahaja menarik dari segi visual tetapi juga mematuhi sejarah dan estetika tradisional.

“Setiap gerakan disusun dengan teliti agar menyampaikan naratif dengan jelas, memadukan unsur dramatik, simbolik dan interpretatif supaya ia menjadi persembahan yang mampu meninggalkan kesan mendalam kepada penonton. Jalan cerita tarian itu juga penting, harus selari dengan gerak tari,” katanya.

Bagi kategori Rampaian Tradisional Melayu, Nuansar menampilkan tarian bertajuk Bersulam Kasih, Beranyam Rindu, sebuah gabungan klasik yang mengetengahkan dua tarian tradisional Melayu Sarawak iaitu Zapin Sageng Hilir dan Inang Pulau Kampai.

FTS 2025 sekali lagi mengesahkan bahawa seni warisan bukan sahaja relevan, malah mampu dihidupkan dalam bentuk moden yang memukau dan membanggakan negeri.

Bagi penulis yang juga bekas penari Nuansar Dance Troupe, kejayaan kumpulan ini seolah-olah mimpi yang menjadi kenyataan, daripada sifar ke puncak dalam sekelip mata.

Mengikuti perjalanan mereka dari hari-hari awal latihan yang penuh peluh, jatuh bangun dalam persiapan  persembahan, sehingga detik gemilang di pentas FKS 2025, memberikan pengalaman yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

Setiap gerakan, setiap langkah tari, seolah-olah membawa jiwa dan sejarah Sarawak ke hadapan mata penonton, menjadikan karya ‘Negeri Yang Hilang’ bukan sekadar tarian, tetapi sebuah naratif hidup yang bernafas.

Sebagai bekas penari yang pernah menghirup peluh di studio latihan Nuansar, melihat mereka mencapai tahap ini memberi kepuasan peribadi yang sukar digambarkan.

Ia bukan sahaja tentang piala atau gelaran, tetapi tentang pengiktirafan terhadap kerja keras, kesetiaan kepada seni dan semangat untuk memastikan budaya Sarawak itu terus hidup, berkembang dan diterima oleh generasi akan datang. Hidup Nuansar!

BERITA LAIN

Larian pesisir pacu ekonomi setempat

PROGRAM Larian Pesisir (Coastal) Sadong Jaya 2026 yang diadakan baru-baru ini dilihat mempunyai keistimewaan tersendiri. Program itu bukan sahaja menjadi aktiviti riadah yang menggalakkan amalan

Sarawak menanti kehadiran MPL

SEDEKAD bukan tempoh yang singkat, apatah lagi bagi sebuah permainan mudah alih yang berjaya bertahan, berkembang dan membina komuniti peminat merentas generasi. Bagi saya, Mobile

BERITA TERBARU

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium