Trending

NUKILAN SOLIHIN OSMAN

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

HAJI SHOLIHIN HAJI OSMAN nama penanya, Solihin Osman lahir di Kangar, Perlis. Beliau pernah menjadi guru sekolah menengah, pensyarah IPG dan pensyarah universiti. Beliau aktif sebagai penyair, penulis, pemberita, pelukis, pereka grafik dan periklanan, fotografi, video, dekon, teater, kartun, komik dan ilustrasi. Solihin menghasilkan enam kumpulan puisi dan 101 antologi puisi, serta menyelenggara 14 antologi puisi. Beliau pernah memenangi hadiah utama Sayembara Menulis Puisi Sempena 50 Tahun Gapena 2021, Hadiah Sastera Perdana Malaysia Kategori Puisi Eceran 2004, Hadiah Puisi Umno 75 tahun, 2021, Hadiah Sayembara menulis Puisi UMK 2021, Hadiah Sastera Utusan Kategori Puisi (1997, 2016), Hadiah Puisi ITBM-BH 2015, Hadiah Puisi PNB 1999, Hadiah Pertandingan Menulis Puisi Islam Asean-Maharajan 2020, Hadiah Sayembara Puisi Putrajaya 2019, Hadiah Puisi Batu Uban Pulau Pinang 2017 dan Hadiah Puisi Pens 2005.

KARYA DI AIDILFITRI

Rembulan mewarnakan Syawal

di palet kemenangan ini

untuk kita membancuh pekerti

memadamkan kebatilan peribadi

berjalan menuju abadi

berbusanakan kemanusiaan

batiniahnya meriah keimanan.

Pada cantik manisnya Aidilfitri

harumlah bunga-bunga kenangan

di laman tumbuh pepohonan kehidupan

dengan rendangnya kebahagiaan

bayang bayang salju yang berseni

kasih sayang yang bersemi.

Syawal ini, rindu menjadi dekat

ditiup oleh takbir yang nirmala

bersatulah hati di dalam akal

mesra dituai oleh sejahtera

tidak akan lagi gerhana penantian

bila senyuman tertulis terlukis

di setiap telapak tangan.

Dangau Seni • Kangar.

SENASKHAH PERSPEKTIF

Yang jauh bagai bintang-bintang sepi

walau sesekali cahaya tumpah

mewarnakan potret matahari.

Yang dekat ialah hati dan akal

bersatu di pentas usia

berjalanlah setia ke penghujung cerita

bebas dari keruh dusta.

Yang jauh dan yang dekat

tidak pernah mampu berpisah

pabila tersimpannya waktu

di dalam arloji cinta

jarumnya bernama, rahsia.

Siapakah yang berani

mengubah masa

dan berlari jauh

mendahului mimpi 

dan takdir, kita?

Asasi

YANG BASAH

Telah datang hujan-hujan langit

penantian tanah dan pasir pun bersurai

ada yang kembali ke gunung

ada yang pulang ke hutan

lebatnya menjadi malam

lampu-lampu hanyalah mata

yang melimpah mimpi

yang menadah impi.

Terima kasih oleh rumput

pepohonan pun berdiri

sarang di ranting waktu

masih kering disalai oleh daun-daun

uratnya masih hidup

akarnya tak pernah, mati.

Maka mengalirlah sungai sungai pengertian

kuala-kuala bagai berpesta lumut

biru laut yang kelam

menjadi hijau yang matang.

Telah kembali basahnya alam

setelah bulan menjadi tua

awan awan masih berlari

dan angin-angin tetap berdiri.

Pena

SKETSA DALAM SKETSA

Anak-anak kecil bermain wayang

di pentas kehidupan

mereka menjerit meminta

dikembalikan mimpi dan boneka.

Suara anak-anak itu tanpa abjad

hanya cahaya yang menghitung usia

mereka berarak menjadi awan

turun menjadi harapan.

Benarlah, tangisan itu makna

senyuman itu hanyalah citra

pabila loceng di kaki

melontarkan nyanyian hati.

Anak-anak kecil ialah titik

akan menjadi garis

dan membentuk suatu karya

di alam maya.

Budiman malaysia

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

Sanggar Puisi

Airul Affendi Ali September 2023 Puchong, Selangor. PANTUN RAKYAT NEGERI

ANAK MERDEKA

MUSALMAH 31 OGOS 2023 Anak Merdeka saban hari, saban purnama

Demi Malaysia

Kita bertiga dalam genggaman setiaberdiri di bawah satu benderadan sebuah

E-Paper

22 September 2023

Berita Terbaru