KEMALANGAN jalan raya merupakan antara isu yang semakin membimbangkan dalam masyarakat moden.
Dalam perspektif Islam, setiap peristiwa yang berlaku, termasuk kemalangan, tidak hanya dilihat dari sudut fizikal semata-mata, tetapi juga dari sudut rohani, akhlak dan tanggungjawab manusia sebagai hamba Allah.
Islam sangat menitikberatkan keselamatan nyawa serta menuntut umatnya supaya sentiasa berhati-hati dan berdisiplin dalam setiap tindakan, termasuk ketika berada di jalan raya.
Jika ditelusuri, dalam kaedah maqasid syariah terdapat perbincangan tentang satu perkara penting, iaitu hifz al-nafs (memelihara nyawa). Hal ini demikian kerana nyawa merupakan asas utama yang perlu dijaga dan dipelihara dengan sebaik-baiknya.
NYAWA AMAT BERNILAI
Pertama, Islam menegaskan nyawa manusia ialah sesuatu yang sangat berharga dan wajib dipelihara.
Allah SWT berfirman: “Barang siapa yang membunuh seorang manusia bukan kerana (hukuman) qisas atau kerana membuat kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia membunuh manusia seluruhnya.” (Surah al-Ma’idah: 32)
Ayat ini menunjukkan betapa besar nilai nyawa dalam Islam. Oleh itu, sebarang kecuaian di jalan raya yang boleh menyebabkan kemalangan hingga meragut nyawa merupakan satu perbuatan yang sangat berat dan tidak boleh dipandang ringan.
TANGGUNGJAWAB PEMANDU
Selain itu, Islam juga menekankan konsep tanggungjawab dan amanah. Setiap individu yang memandu kenderaan memikul amanah untuk menjaga keselamatan diri sendiri dan orang lain. Sikap cuai seperti memandu laju, menggunakan telefon bimbit ketika memandu atau melanggar peraturan lalu lintas adalah bertentangan dengan ajaran Islam.
Nabi Muhammad SAW bersabda: “Setiap kamu ialah pemimpin dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap apa-apa yang dipimpinnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Dalam konteks ini, pemandu ialah “pemimpin” kepada kenderaannya dan bertanggungjawab memastikan keselamatan sepanjang perjalanan.
Di samping itu, Islam melarang perbuatan yang boleh memudaratkan diri sendiri dan orang lain. Kaedah fiqh yang masyhur menyebut: “La darar wa la dirar” yang bermaksud “tidak boleh melakukan kemudaratan dan tidak boleh membalas kemudaratan dengan kemudaratan.”
Prinsip ini jelas menuntut setiap pengguna jalan raya agar mengelakkan tindakan yang boleh membawa bahaya. Kemalangan jalan raya sering berpunca daripada sikap tidak bertanggungjawab seperti memandu dalam keadaan mabuk atau mengantuk, yang jelas bercanggah dengan prinsip ini.
KETENTUAN ALLAH SWT
Seterusnya, aspek takdir juga perlu difahami dengan betul. Dalam Islam, umatnya diajar untuk beriman kepada qada dan qadar, iaitu ketentuan Allah. Namun, keimanan terhadap takdir tidak bermaksud seseorang boleh bersikap sambil lewa atau tidak mengambil langkah pencegahan.
Sebaliknya, Islam mengajar konsep tawakal yang sebenar, iaitu berusaha terlebih dahulu sebelum berserah kepada Allah.
Nabi SAW pernah bersabda kepada seorang lelaki yang meninggalkan untanya tanpa diikat: “Ikatlah ia, kemudian bertawakal.” (Hadis riwayat al-Tirmizi)
Hal ini menunjukkan langkah keselamatan seperti mematuhi undang-undang jalan raya, memakai tali pinggang keledar dan memastikan kenderaan dalam keadaan baik merupakan sebahagian daripada usaha yang dituntut dalam Islam.
Kemalangan jalan raya juga boleh dijadikan sebagai peringatan dan pengajaran kepada manusia. Setiap musibah yang berlaku mempunyai hikmah tersendiri, sama ada sebagai ujian keimanan atau peringatan agar manusia kembali ke jalan yang benar.
Kesimpulannya, kemalangan jalan raya menurut pandangan Islam bukan sekadar isu kemalangan fizikal, tetapi berkait rapat dengan nilai kehidupan, tanggungjawab dan akhlak. Islam menuntut umatnya supaya menjaga nyawa, mematuhi peraturan dan sentiasa berwaspada. Dengan mengamalkan ajaran Islam secara menyeluruh, kadar kemalangan diharapkan dapat dikurangkan, manakala keselamatan serta kesedaran di jalan raya dapat dipertingkatkan.



