KUALA LUMPUR: Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC) di bawah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menyokong penuh inisiatif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mengklasifikasikan penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial berskala besar sebagai pemegang lesen penyedia perkhidmatan aplikasi berkuat kuasa 1 Januari 2026.
OCC memuji langkah di bawah Seksyen 46A baharu Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 itu sebagai langkah penting bagi memperkukuh penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 terutamanya dalam aspek perlindungan kanak-kanak.
Menurut OCC, pengawalseliaan itu memperkukuh akauntabiliti platform digital yang beroperasi di Malaysia supaya lebih bertanggungjawab terhadap keselamatan pengguna khususnya kanak-kanak yang semakin aktif dalam ruang digital.
Di bawah Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak, kanak-kanak berhak dilindungi daripada sebarang bentuk kemudaratan, penderaan, eksploitasi dan keganasan termasuk dalam persekitaran dalam talian.
Perlindungan ini termaktub dalam Artikel 3, 19, 34 dan 36 CRC yang mewajibkan kerajaan mengambil langkah pencegahan secara proaktif.
OCC turut menegaskan Akta Kanak-Kanak 2001 meletakkan tanggungjawab kepada semua pihak termasuk penyedia platform digital untuk memastikan kanak-kanak dilindungi daripada kemudaratan fizikal, emosi dan psikologi.
“Platform digital perlu memastikan reka bentuk dan tetapan perkhidmatan mereka selamat untuk kanak-kanak termasuk perlindungan mengikut umur, pencegahan akses kepada kandungan berbahaya, kawalan terhadap eksploitasi seksual dalam talian serta penyediaan mekanisme pelaporan yang mudah diakses,” katanya.
OCC menegaskan kepentingan terbaik kanak-kanak selaras Artikel 3 CRC mesti menjadi panduan utama dalam dasar, reka bentuk sistem dan penguatkuasaan platform.
Selain itu, Peruntukan Deeming oleh MCMC memastikan platform yang meraih manfaat daripada jumlah pengguna besar di Malaysia memikul tanggungjawab setara di bawah rangka kerja kawal selia negara.
OCC menyatakan kesediaan untuk memperkukuh kerjasama dengan MCMC, agensi kerajaan serta penyedia perkhidmatan dalam membangunkan ekosistem digital yang lebih selamat.
“Melindungi kanak-kanak dalam talian bukan satu pilihan sebaliknya kewajipan undang-undang dan moral,” katanya.


