PELAKON dan pendakwah terkenal Indonesia, Oki Setiana Dewi, meluahkan rasa gembira apabila berpeluang menyambung pengajian di Universiti AlAzhar, Mesir.
Menurut Oki, sudah setahun beliau berada di negara itu dan tidak menyangka masa berlalu begitu pantas kerana sibuk menuntut ilmu.
Oki, 36 tahun, kini sedang mengikuti pengajian dalam jurusan Usuluddin dan berkata kehidupannya di Mesir lebih tertumpu kepada pembelajaran.
Katanya, beliau mempunyai banyak masa untuk belajar dan mengisi hari-hari dengan ilmu yang bermanfaat.
“Setiap hari saya fokus belajar.
Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana mendapat peluang ini.
Budaya pembelajaran di Mesir agak berbeza dengan di Indonesia, tetapi saya sedang cuba menyesuaikan diri,” katanya.
Menariknya, Oki tidak bersendirian di Mesir apabila turut membawa ibu serta tiga orang anaknya untuk menetap bersama.
Menurutnya, sokongan keluarga menjadikan urusan pembelajarannya lebih mudah dan bermakna.
Namun begitu, anak bongsunya, Sulaiman Ali Abdullah, yang berusia lima tahun, kini berada di Indonesia bersama suaminya, Ory Vitrio.
Oki tetap pulang ke tanah air dari semasa ke semasa untuk bertemu suami tercinta.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 2014 dan dikurniakan empat cahaya mata, iaitu Maryam Nusaibah, 11 tahun; Khadeejah Faatimah, sembilan tahun; Ibrahim Muhammad, lapan tahun; dan Sulaiman Ali, lima tahun.
Oki masih mempunyai baki tiga tahun pengajian sebelum menamatkan ijazah sarjana muda keduanya di Universiti AlAzhar.
Meskipun sibuk dengan tanggungjawab sebagai ibu dan pelajar, Oki tetap bersemangat mengejar ilmu demi memperkukuh peranannya dalam dunia dakwah.



