PUISI sering menjadi ruang paling peribadi bagi seorang penyair untuk merakam pengalaman, perasaan dan renungan terhadap kehidupan. Dalam dunia puisi, sesuatu yang sederhana boleh berubah menjadi perlambangan yang luas — bulan menjadi lambang kerinduan, perjalanan menjadi perlambangan kehidupan dan waktu pula menjadi ruang untuk manusia berdepan dengan takdir.
Begitulah antara kesan yang dapat dirasakan ketika membaca Kumpulan Sajak: Sihir Purnama karya Yatim Ahmad yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada 2025. Buku setebal 120 halaman ini memperlihatkan kecenderungan penyair mengolah pengalaman manusia melalui bahasa yang dekat dengan pembaca.
Tajuk Sihir Purnama itu sendiri sudah memberikan pintu masuk yang menarik kepada dunia kepenyairan Yatim Ahmad. “Purnama” membawa asosiasi kepada bulan yang penuh, cahaya malam, kerinduan, keindahan dan penantian, manakala perkataan “sihir” memberikan dimensi yang lebih misteri dan emosional. Pertemuan kedua-dua kata ini seolah-olah menggambarkan daya tarikan sesuatu yang sukar dijelaskan secara rasional tetapi kuat dirasakan oleh jiwa.
Dalam salah satu sajak, penyair menulis tentang cincin perak, kotak ungu, selendang biru, kekasih dan perjalanan menyeberangi laut.
ada cincin perak buatmu
kekasih, di kotak ungu
balutan selendang biru,
lafaznya masih terkunci
sementara aku sampai
kepadamu redakan gelora
betapa jalan seberang laut
jadualnya masih dikunci.
(“Sepasang Cincin Perak”, halaman 72)
Imejan tersebut memperlihatkan kecenderungan Yatim Ahmad menggunakan benda dan warna sebagai perantara untuk menyampaikan emosi. Perasaan tidak semestinya dinyatakan secara terus, sebaliknya pembaca diajak mentafsirkannya melalui simbol dan gambaran yang dibina oleh penyair.
Salah satu kekuatan Sihir Purnama ialah kecenderungan kepada pengucapan yang bersifat romantis. Namun, romantisme dalam karya ini tidak wajar dilihat semata-mata sebagai puisi tentang cinta antara lelaki dengan perempuan.
Romantisme boleh berkembang menjadi cara penyair melihat dunia, iaitu dengan kelembutan, nostalgia, kerinduan dan kepekaan terhadap pengalaman manusia.
Kau mungkin
pernah mencium
bau rindu tubuhmu
kesetiaan seorang
laki-laki seperti
bunyi sunyi
di kamarmu ketika
malam sehabis gerimis.
(“Atas Nama Peribadi”, halaman 34)
Dalam tulisan berkaitan kepenyairannya, Yatim Ahmad sendiri menjelaskan kecenderungannya terhadap aliran romantisme dan mengaitkannya dengan bentuk pengucapan yang bercerita atau menyampaikan sesuatu secara lembut.
Pendekatan sedemikian menjadikan puisi-puisinya terasa dekat dengan tradisi lisan. Ada kesan seolah-olah penyair sedang duduk berhadapan dengan pembaca, lalu menceritakan sesuatu yang pernah dilalui atau direnungkannya.
Teknik ini penting kerana puisi yang terlalu sarat dengan kerumitan bahasa kadangkala menyebabkan pembaca berjarak daripada penyair. Sebaliknya, pengucapan yang lebih komunikatif memungkinkan pembaca memasuki dunia sajak tanpa perlu terlebih dahulu memahami teori atau istilah kesusasteraan yang rumit.
Selain cinta dan kerinduan, persoalan waktu dan penantian juga menjadi unsur yang menarik. Manusia boleh merancang, berharap dan menunggu, tetapi keputusan terakhir tetap berada di luar kawalannya. Di sinilah puisi berubah daripada sekadar ungkapan perasaan kepada renungan tentang kehidupan.
Penggunaan alam dan unsur kosmos juga mempunyai nilai simbolik yang kuat. Bulan, langit, bintang dan perjalanan memberikan ruang kepada penyair untuk menghubungkan pengalaman kecil manusia dengan sesuatu yang lebih besar. Bulan tidak lagi sekadar objek di langit, malah menjadi cermin kepada jiwa. Malam bukan sekadar waktu tanpa cahaya, tetapi ruang untuk mengingati, menunggu dan bermuhasabah.
Menariknya, dunia visual Sihir Purnama turut mempunyai hubungan dengan pemikiran penyair terhadap judul tersebut. Yatim Ahmad pernah menjelaskan proses penghasilan lukisan kulit bukunya, termasuk gambaran bumi, bulan, buaian yang tergantung antara langit dan bumi serta unsur bintang. Penjelasan itu memperlihatkan bahawa konsep “sihir” dan “purnama” bukan sekadar pilihan kata, tetapi mempunyai dunia imaginasi visual tersendiri.
Dari sudut gaya, kekuatan buku ini terletak pada usaha penyair mencari keseimbangan antara bahasa yang puitis dengan bahasa yang boleh dihayati pembaca umum. Ada kecenderungan menggunakan imejan, simbol dan personifikasi, tetapi pada masa yang sama pengucapannya masih menyupai sifat naratif. Hal ini menjadikan sajak-sajak dalam Sihir Purnama tidak terlalu jauh daripada pembaca pengalaman kehidupan seharian.
Namun, sebuah sebahagian kumpulan sajak, kekuatan sebuah buku tidak semestinya terletak pada setiap sajak yang sama kuat. Pembaca mungkin menemukan sajak yang lebih segera memberikan kesan emosional berbanding sajak yang memerlukan pembacaan berulang. Keadaan ini sebenarnya lumrah dalam sebuah kumpulan puisi kerana pengalaman pembaca turut menentukan sajak mana yang lebih dekat dengan jiwa mereka.
Secara keseluruhannya, Sihir Purnama memperlihatkan Yatim Ahmad sebagai penyair yang cenderung menjadikan pengalaman, kerinduan, penantian dan alam sebagai jalan untuk berbicara tentang manusia.
Buku ini tidak hanya mengajak pembaca melihat keindahan bulan atau mendengar suara rindu, tetapi turut mengajak kita memikirkan waktu, takdir dan perjalanan hidup.
Sihir Purnama akhirnya meninggalkan satu kesan penting iaitu puisi tidak semestinya perlu berteriak untuk menyampaikan sesuatu. Kadangkala, seperti cahaya purnama yang cukup hadir perlahan-lahan menerangi ruang gelap dan membiarkan pembaca menemukan maknanya sendiri.



