KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg merafak sembah takziah kepada kerabat Diraja Pahang atas kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Menurut beliau, almarhum sangat rapat dengan Sarawak bukan sahaja dalam bidang pentadbiran ketika menjadi Yang di-Pertuan Agong tetapi juga dalam sukan.

“Baginda begitu rapat dengan ahli-ahli sukan Sarawak, lebih-lebih lagi semasa zaman Datuk Haji Taha Ariffin.

“Kita doakan roh baginda ditempatkan bersama orang-orang yang solehin,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyampaikan sumbangan Majlis Islam Sarawak kepada masjid dan surau Bahagian Kuching di Kompleks Islam Sarawak di sini, hari ini.

Almarhum Sultan Ahmad Shah mangkat di Institut Jantung Negara pada jam 8.50 pagi tadi pada usia 88 tahun.