KUCHING: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya melumpuhkan satu sindiket jenayah terancang yang aktif melakukan pelbagai jenayah kekerasan di Sarawak menerusi operasi khas dikenali sebagai Op Pusak Merah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, operasi berkenaan dilaksanakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan kerjasama JSJ Kontinjen Sarawak.
“Kumpulan tersebut dipercayai aktif melakukan kes rompakan sehingga mendatangkan kecederaan, khianat dengan api, menyebabkan cedera parah, rusuhan menggunakan senjata dan pemerasan di sekitar Sarawak sejak 2020.
“Kumpulan yang diketuai seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun itu mempunyai seramai 26 ahli berumur antara 19 hingga 44 tahun yang terdiri daripada penjenayah berulang,” katanya dalam satu kenyataan media.
Dalam operasi khas yang dijalankan dari 19 hingga 23 April lalu, seramai 23 suspek warga tempatan berjaya ditahan.
“Kesemua tangkapan kini direman mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) sehingga 18 Mei ini.
“Turut dirampas dalam operasi tersebut ialah selaras senjata api jenis ‘pump gun’, sejumlah peluru 12 bore pelbagai jenama, dua bilah pedang samurai dan dua bilah parang panjang,” jelasnya.
Menurut beliau, pihak polis turut mengenal pasti identiti tiga lagi ahli kumpulan yang masih bebas dan usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan.
“Siasatan mendapati kesemua suspek mempunyai pelbagai rekod kesalahan lampau termasuk bunuh, rompak berkumpulan, khianat dengan api, menyebabkan kecederaan dan cedera parah, ugutan jenayah, pecah rumah, curi dalam bangunan, curi kenderaan, membuat laporan palsu, menjalankan kegiatan rumah judi terbuka, memiliki barangan curi dan pengedaran dadah,” katanya.
Tambah beliau, kumpulan itu dipercayai menjalankan kegiatan pemerasan bagi mendapatkan wang perlindungan selain melakukan serangan ke atas premis yang gagal membuat bayaran.
“Mereka juga dipercayai melakukan ugutan jenayah dan mencederakan individu yang enggan menurut kehendak kumpulan selain melakukan pelbagai kesalahan serius untuk memperluas pengaruh serta mendapatkan faedah material.
“Dengan penahanan ahli-ahli kumpulan ini, PDRM berjaya menyelesaikan kira-kira 25 kes serta melumpuhkan satu sindiket jenayah kekerasan yang aktif di sekitar Sarawak,” katanya.
Beliau berkata, kertas siasatan dirujuk kepada Unit Jenayah Berat, Jabatan Peguam Negara pada 11 Mei lalu dan pihak pendakwaan bersetuju mengenakan pertuduhan terhadap kesemua 26 ahli kumpulan terbabit termasuk tiga yang masih bebas.
Kes akan didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan atas kesalahan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.
-tamat-


