BAU: Lima individu termasuk seorang wanita ditahan selepas disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah menerusi Op Tapis Khas Sarawak di sekitar daerah ini, semalam.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintenden Mohd Haide A. Rahman berkata, kesemua suspek terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita berusia antara 26 hingga 47 tahun.
“Mereka ditahan dalam operasi di sekitar Kampung Serasot dan di hadapan sebuah restoran di Jalan Kampung Sriieng antara 10 hingga 11.50 pagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Haide berkata, saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek positif amphetamine dan methamphetamine, manakala dua daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan penyalahgunaan dadah.
Katanya, kesemua suspek mengaku kali terakhir mengambil syabu sehari sebelum ditahan.
“Dalam operasi itu, polis merampas 5.90 gram dadah disyaki syabu bernilai kira-kira RM590.
“Seorang daripada suspek ditahan selepas didapati memiliki satu paket plastik lut sinar berisi ketulan kristal disyaki syabu,” katanya.
Menurutnya, kesemua suspek ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 selepas keputusan saringan air kencing diperoleh dan kini ditempatkan di lokap Balai Polis Bau bagi membantu siasatan.
Katanya, suspek lelaki berusia 47 tahun akan dipohon reman hari ini manakala suspek wanita berusia 26 tahun dijadualkan berdepan pertuduhan bagi kes lampau di Mahkamah Bau.
“Operasi itu dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik bersama anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Bau,” katanya.


